Ancelotti belum puas, tuntut aksi lebih baik

Ancelotti belum puas, tuntut aksi lebih baik


Philadelphia, Amerika Syarikat: Carlo Ancelotti memuji persembahan menyeluruh Brazil selepas pasukan gergasi Amerika Selatan itu menewaskan Haiti 3-0 pada aksi Piala Dunia, sambil menegaskan pasukannya masih mampu meningkatkan lagi tahap permainan menjelang pusingan kalah mati.

Juara dunia lima kali itu bangkit dengan bergaya selepas sekadar seri 1-1 menentang Maghribi pada perlawanan pertama apabila Matheus Cunha meledak dua gol, manakala Vinicius Junior turut menemui sasaran bagi aksi kedua berturut-turut.

Kemenangan di Philadelphia itu meletakkan Brazil di tangga teratas Kumpulan C dengan empat mata, berkongsi jumlah mata sama dengan Maghribi tetapi memiliki kelebihan perbezaan jaringan.

Keputusan itu juga menyaksikan Brazil hampir pasti melangkah ke pusingan 32 terakhir dengan berbaki satu lagi perlawanan peringkat kumpulan.

“Ia adalah perlawanan yang lengkap, jauh lebih baik berbanding aksi pertama. Pada babak pertama kami bermain dengan sangat baik.

“Pada separuh masa kedua kami lebih mengawal permainan, namun masih mencipta banyak peluang dan sebenarnya boleh menjaringkan lebih banyak gol,” kata Ancelotti.

Menurut pengendali dari Itali itu, pasukannya menampilkan segala yang diharapkan selepas persembahan kurang meyakinkan ketika seri dengan Maghribi.

“Inilah yang kami jangkakan daripada perlawanan ini. Kualiti lebih baik, kurang melakukan kesilapan, lebih berkesan dalam serangan dan lebih tersusun ketika bertahan.

“Dari segi intensiti juga ia satu perlawanan yang baik. Sudah tentu kami masih perlu memperbaiki beberapa perkara dan kami akan terus meningkat untuk bersedia menghadapi pusingan kalah mati,” katanya.

Ancelotti berkata fokus kini terarah kepada aksi terakhir kumpulan menentang Scotland di Miami pada Rabu depan.

Beliau menyedari kedudukan selaku juara kumpulan mampu memberikan laluan yang lebih baik pada pusingan seterusnya.

Scotland tewas 0-1 kepada Maghribi dan kini perlu meraih keputusan positif menentang Brazil untuk terus menghidupkan peluang mara.

“Kami mahu membuat persiapan terbaik untuk perlawanan itu. Scotland mempunyai ciri permainan tersendiri dan mereka menyukarkan Maghribi hari ini.

“Kami perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan itu serta kekal tenang dan fokus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top