Rio de Janeiro: Carlo Ancelotti mengetepikan Neymar yang dibelenggu kecederaan daripada skuad Brazil bagi pusingan kelayakan Piala Dunia akan datang dan berikrar untuk membawa pasukan itu menjulang kejuaraan keenam pada hari pertamanya sebagai jurulatih Selecao.
Bekas pengurus Real Madrid itu menjadi individu bukan Brazil pertama dalam tempoh enam dekad yang diberi tanggungjawab membimbing pasukan yang memegang rekod lima kali juara Piala Dunia.
“Saya sangat berbangga untuk membimbing pasukan terbaik di dunia. Saya mempunyai tugas besar di hadapan saya dan saya menaruh harapan besar bahawa Brazil akan menjadi juara sekali lagi.
“Satu-satunya matlamat adalah untuk memenangi Piala Dunia 2026,” katanya semasa majlis pengenalan rasmi di sebuah hotel di Rio de Janeiro
Ancelotti menerima jaket jurulatih berwarna hijau dan kuning daripada Luiz Felipe Scolari, pengurus yang membawa Brazil menjuarai Piala Dunia kali terakhir pada 2002.
Pada usia 65 tahun, pengendali dari Itali yang terkenal dengan lima gelaran Liga Juara-Juara (UCL) itu mengemudi pasukan kebangsaan buat kali pertama.
Harapan tinggi disandarkan di Brazil yang begitu menggilai bola sepak bahawa beliau dapat mengembalikan kegemilangan skuad itu.
Sehubungan itu, dia mengumumkan kepulangan pemain tengah Manchester United dan bekas kapten Brazil, Casemiro bagi perlawanan kelayakan menentang Ecuador dan Paraguay Jun ini, bersama-sama bintang Real Madrid, Vinicius Jr serta pemain sayap Barcelona, Raphinha.
Ancelotti adalah jurulatih keempat Brazil dalam tempoh dua tahun, dan beliau berdepan cabaran besar.
“Brazil seolah-olah sedang merosot dan memerlukan sedikit cahaya di hujung terowong. Saya rasa dia adalah cahaya itu,” kata Jose Geraldo Da Silva, seorang pesara berusia 65 tahun yang menunggu di luar hotel di Rio untuk cuba melihat jurulatih baharu itu.
Brazil bergelut dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dan memecat Dorival Junior pada Mac lalu selepas kekalahan memalukan 1-4 kepada seteru serantau, Argentina.
Ancelotti akan memulakan tugas sulungnya pada 5 Jun menentang Ecuador di Guayaquil dan kemudian menentang Paraguay di Sao Paulo pada 10 Jun.
Sambil tidak menyenaraikan Neymar untuk aksi itu, Ancelotti berkata bahawa “sudah tentu kami mengharapkan khidmatnya” pada masa akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd