Ancelotti tinggalkan Real Madrid, nakhoda baharu Brazil

Ancelotti tinggalkan Real Madrid, nakhoda baharu Brazil


PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti, bakal meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu pada penghujung musim ini untuk mengambil alih jawatan sebagai ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan Brazil.

Pengendali berusia 65 tahun dari Itali itu akan secara rasmi memulakan tugas bersama Brazil pada 26 Mei, sejurus selepas tamat musim La Liga.

Beliau meninggalkan Santiago Bernabéu sebagai salah seorang pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab tersebut.

Sepanjang dua tempoh kendaliannya di Real Madrid, Ancelotti berjaya merangkul 15 trofi, termasuk membawa Los Blancos meraih kejuaraan berganda Liga Juara-Juara dan La Liga pada musim lalu.

Bagaimanapun, pemergiannya dari Real Madrid hadir selepas kekalahan dalam El Clásico pada Ahad lalu yang menyaksikan Real ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu liga, Barcelona, dengan baki tiga perlawanan.

Kecuali kejatuhan dramatik Barcelona, keputusan itu hampir mengesahkan Real akan menamatkan musim tanpa sebarang trofi buat kali pertama dalam tempoh empat tahun.

Dalam satu kenyataan rasmi, Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) menyifatkan Ancelotti sebagai legenda bola sepak dan mengakui betapa signifikannya pelantikan jurulatih asing untuk menerajui pasukan kebangsaan mereka.

“Momen bersejarah ini menyaksikan pertemuan dua ikon – juara lima kali Piala Dunia, dan seorang jurulatih dengan rekod yang tiada tandingan dalam pertandingan elit Eropah.

CBF dengan mesra mengalu-alukan kedatangan Carlo Ancelotti dan menantikan era kejayaan baharu di bawah kepimpinannya,” kata CBF.

Dalam kenyataan sama, CBF turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Real Madrid, Florentino Pérez, yang memudahkan pelepasan jurulatih itu sebelum tamat kontraknya dan turut menghargai peranan ahli perniagaan Brazil, Diego Fernandes, dalam menjayakan perjanjian ini.

Sebagai rekod, kontrak semasa Ancelotti bersama Real Madrid sepatutnya berakhir pada Jun 2026.

Jurulatih berkarisma itu mengambil alih tugas Brazil daripada Dorival Júnior, yang dipecat pada Mac lalu selepas kekalahan memalukan 4-1 kepada musuh tradisi, Argentina, dalam kelayakan Piala Dunia.

Brazil kini berada di tangga keempat dalam kumpulan Amerika Selatan, setelah tewas lima daripada 14 perlawanan, namun masih berada dalam kedudukan yang baik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2026.

Perlawanan pertama Ancelotti sebagai jurulatih Brazil adalah aksi kelayakan Piala Dunia menentang Paraguay dan Ecuador pada bulan depan.

Brazil belum memenangi Piala Dunia sejak 2002 dan kali terakhir mereka menjulang kejuaraan Copa América adalah pada 2019.

Sepanjang kerjaya pengurusannya selama 30 tahun, Ancelotti telah mengendalikan beberapa kelab gergasi Eropah, termasuk Juventus, AC Milan, Paris Saint-Germain dan Bayern Munich.

Beliau telah memenangi kejuaraan liga di Itali, Sepanyol, Perancis, Jerman dan England.

Sementara itu, bekas pemain tengah Real Madrid, Liverpool dan Sepanyol, Xabi Alonso, 43 tahun, dijangka akan menggantikan Ancelotti di kerusi panas Bernabéu.

Alonso mengumumkan pada Jumaat lalu akan meninggalkan kelab Jerman, Bayer Leverkusen, pada akhir musim ini dan Real Madrid dikatakan mahu melantiknya sebelum bermulanya Piala Dunia Kelab bulan depan.



Source link

OR

Scroll to Top