London: Carlo Ancelotti mungkin masih menyesuaikan diri dengan bahasa Portugis, tetapi jurulatih Itali itu semakin selesa dalam peranannya sebagai jurulatih Brazil ketika bersiap untuk menurunkan barisan pertahanan eksperimen dalam perlawanan persahabatan menentang Senegal di Stadium Emirates, Arsenal, pada Sabtu.
Hampir enam bulan dalam tugasnya, bekas pengendali Real Madrid itu sedang menyesuaikan diri dengan rutin yang jauh berbeza berbanding zaman kelab, menukar sesi latihan harian dengan kerja berkala sambil membina pasukan menjelang Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Kekalahan 2-3 kepada Jepun bulan lalu menjadi “loceng amaran” buat Ancelotti, apabila pasukannya sebelum kebangkitan Jepun di Tokyo hanya dibolosi satu gol dalam lima perlawanan pertama beliau.
Kelemahan pertahanan ketika memimpin 2-0 pada separuh masa pertama mendorong Ancelotti melakukan penilaian taktikal, dengan bek tengah Real Madrid, Eder Militao, dijangka diturunkan di posisi pertahanan kanan menentang Senegal ketika jurulatih itu terus mencari pemain full-back yang boleh diharapkan.
“Pertahanan adalah bahagian penting dalam kemenangan Brazil pada (Piala Dunia) terdahulu.
“Pasukan dengan individu yang hebat, seronok bermain tetapi tahu cara untuk tidak terdedah… Saya ingat 1994, pasukan dengan dua pemain tengah defensif, pertahanan sangat kemas dan dengan Bebeto dan Romario di hadapan untuk membuat perbezaan.
“Itulah yang saya fikir untuk Piala Dunia. Pertahanan yang mantap membantu pemain berkualiti membuat perbezaan.
“Militao mempunyai profil berbeza berbanding full-back lain. Saya akan minta sesuatu yang berbeza dari segi kualiti dan gaya permainan.
“Ia pilihan yang boleh digunakan dalam Piala Dunia untuk memberi kestabilan lebih di bahagian belakang, tetapi kami dibolosi tiga gol menentang Jepun, kami telah menilai kesilapan dan akan cuba memperbaiki bahagian itu untuk bermain dengan baik,” kata Ancelotti, mengambil inspirasi daripada kejayaan Brazil pada Piala Dunia 1994 dan 2002.
© New Straits Times Press (M) Bhd






