Penyanyi bersuara emas dari Indonesia, Andmesh Kamaleng, bakal kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi konsert penuh emosi berjudul ‘ANDMESH Love Story: Suara Dari Ketulusan Hati’ yang dijadual berlangsung pada 14 Februari 2026 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert yang dibawakan oleh DTC Entertainment Sdn Bhd itu dijangka menjadi antara persembahan paling dinantikan pada tahun hadapan, seiring dengan populariti Andmesh yang terus meningkat selepas meraih pelbagai anugerah di Indonesia serta kejayaan lagu-lagunya yang sering mendominasi carta muzik serantau.
Sejak menjuarai Rising Star Indonesia pada 2017, Andmesh semakin mengukuhkan kedudukan sebagai salah satu vokalis paling berpengaruh di Indonesia. Karya-karyanya bukan sahaja mencatat jutaan penstriman, malah sering menjadi tular di Malaysia, Singapura, Brunei dan beberapa negara Asia lain.
Antara lagu-lagu terbesar yang melonjakkan namanya termasuk ‘Cinta Luar Biasa’ yang telah meraih ratusan juta tontonan di YouTube dan menjadi antara lagu cinta paling ikonik di rantau ini. Turut mencuri perhatian ialah ‘Hanya Rindu’, karya sarat emosi yang pernah membawa pulang anugerah bagi kategori Best Pop Solo Performance di Indonesia.
Single ‘Kumau Dia’ pula menonjolkan kekuatan vokal Andmesh dan menjadi antara lagu kegemaran pendengar di seluruh Asia Tenggara. Tidak kurang juga sambutan untuk ‘Anugerah Terindah’, ‘Nyaman’ dan ‘Jangan Rubah Takdirku’ yang terus mengekalkan reputasinya sebagai penyanyi dengan bakat konsisten.
Nama Andmesh juga tidak asing buat peminat muzik Malaysia. Setiap kemunculannya di negara ini sering disambut dengan sold out, dengan peminat memenuhi ruang konsert sambil menyanyi bersama dari awal hingga akhir. Persembahan solonya sebelum ini turut menerima respons luar biasa, dengan ramai memuji kawalan vokal Andmesh yang dikatakan sentiasa memukau.
Peminat tempatan turut dikenali sebagai antara kelompok pendengar paling setia menyokong perjalanan seni Andmesh, menjadikan Malaysia sebagai lokasi penting dalam perkembangan kariernya.

Berkongsi perasaannya mengenai konsert kali ini, Andmesh menyatakan rasa teruja untuk kembali bertemu peminat Malaysia.
“Malaysia sentiasa jadi tempat yang dekat di hati saya. Energi penonton di sini luar biasa. Konsert Suara Dari Ketulusan Hati sangat dekat dengan saya kerana ia membawa perjalanan muzik saya dari awal sampai sekarang. Saya mahu peminat merasai setiap cerita di sebalik lagu-lagu saya,” katanya.
Andmesh juga berjanji untuk tampil dengan susunan muzik yang lebih segar serta beberapa kejutan eksklusif yang hanya akan dipersembahkan di Kuala Lumpur.
Tiket konsert “ANDMESH Love Story: Suara Dari Ketulusan Hati” boleh dibeli melalui www.ticket2u.com dengan pilihan tempat duduk yang merangkumi kategori VVIP berharga RM1,088, Platinum pada harga RM888, Platinum Wing berharga RM728, Diamond berharga RM688, VIP pada harga RM588, Gold berharga RM458, Diamond Wing pada harga RM488 serta Bronze berharga RM238. Bagi peminat yang memilih kawasan berdiri, kategori Silver ditawarkan pada harga RM388.






