sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya menjangkakan dia akan bermain dengan lebih baik,” kata Pengarah Kejurulatihan Skuasy Raket Malaysia (SRAM), Andrew Cross susulan kekalahan pemain wanita negara, S Sivasangari di peringkat suku akhir kejohanan skuasy profesional di Chicago, awal pagi hari ini.
Sivasangari terpaksa akur dengan kehebatan pemain tuan rumah, Olivia Weaver yang juga pilihan keempat kejohanan, apabila tewas 1-3 dalam aksi selama 41 minit di gelanggang Lakeshore Sport & Fitness menerusi mata 3-11, 11-8, 4-11, 5-11.
Andrew mengakui kurang berpuas hati dengan prestasi anak didiknya berbanding persembahan cemerlang ketika menewaskan Amanda Sobhy sebelum ini.
“Dia kelihatan lebih mantap dalam perlawanan terdahulu. Namun, dalam aksi kali ini, prestasinya tidak setanding dan agak menurun.
“Walaupun tewas, saya tetap merasakan dia sudah memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi
Menurut Andrew lagi, Olivia yang kini menghuni ranking keempat dunia berjaya memanfaatkan kelebihan di laman sendiri, namun tetap memuji semangat juang ditampilkan Sivasangari sepanjang perlawanan.
“Kedua-dua pemain ada kekuatan tersendiri. Tahniah kepada mereka kerana telah mempamerkan aksi berkualiti,” tambahnya.
Dengan kekalahan itu, Malaysia kini tidak lagi mempunyai wakil dalam kejohanan tersebut selepas pemain lelaki, Ng Eain Yow turut tersingkir pada pusingan ketiga, 13 Mei lalu.
Olivia dijadualkan berdepan cabaran getir di separuh akhir menentang juara dunia tujuh kali dari Mesir, Nour El Sherbini.
Sementara itu, Andrew tetap optimis terhadap potensi besar dimiliki Sivasangari dan berharap anak buahnya itu dapat bangkit dalam kejohanan akan datang serta mengekalkan rentak konsisten.
© New Straits Times Press (M) Bhd