'Angan-angan' bola sepak

'Angan-angan' bola sepak



riadz@hmetro.com.my

Ketika artikel ini ditulis, Euro 2024 dan Copa America sedang berlangsung dan bakal memasuki pusingan suku akhir.

Sebagai peminat bola sepak, saya selalu berangan. Bukan berangan menjadi bintang bola sepak dunia, tetapi berangan alangkah bangganya jika skuad bola sepak Malaysia berjaya layak ke Piala Dunia dan kejohanan-kejohanan besar yang lain.

Bayangkan, Malaysia di kedudukan 10 pasukan terbaik dunia dalam ranking Fifa bersama dengan Argentina, Perancis, Belgium, Brazil, England, Portugal, Belanda, Sepanyol, Croatia dan Itali.

Ataupun sekurang-kurangnya sama taraf dengan pasukan terkuat Asia seperti Jepun, Iran, Korea Selatan, Australia, Arab Saudi dan Uzbekistan.

Malaysia juga sudah berpengalaman bermain di Piala Dunia dan sejak 1974 tidak pernah tidak layak ke Piala Dunia.

Kesebelasan utama skuad terkini Harimau Malaya pula kebanyakannya berkelana di liga utama bola sepak Eropah seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), Bundesliga, La Liga, Serie A dan Ligue 1 selain liga utama Asia seperti Saudi Pro League, J1 League (Jepun) atau K League 1 (Korea Selatan).

Bayangkan, Arif Aiman bermain di EPL mewakili Liverpool, Akhyar Rashid (Tottenham Hotspur), Syihan Azmi (Borussia Dortmund), Safawi Rashid (Atletico Madrid), Shahrul Saad (Bayern Munich), Matthew Davies (Inter Milan) dan Dominic Tan bersama Paris St Germain.

Pemain pertahanan, Corbin Ong pula mewakili Arsenal, Stuart Wilkin (Bayer Leverkusen), Brendan Gan (Real Madrid) dan Faisal Halim menjadi penyerang Arsenal berganding dengan Bukayo Saka.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula melantik Xabi Alonso sebagai ketua jurulatih yang sebelum itu cemerlang bersama Bayer Leverkusen.

Dalam masa sama di Eropah, tular berita Arif Aiman menjadi rebutan kelab-kelab ternama seperti Real Madrid, Bayern Munich, Chelsea, Manchester City dan Juventus.

Syihan pula yang tamat kontrak dengan Dortmund dikhabarkan bakal berpindah ke Manchester United bagi menggantikan Andre Onana.

Apapun ini cuma imaginasi dan angan-angan saya saja. Saya tidak tahu bila Harimau Malaya akan layak ke Piala Dunia.

Saya juga tidak tahu satu hari nanti akan adakah pemain Malaysia beraksi di kelab-kelab ternama Eropah.

Selepas gagal mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 baru-baru ini, kita akan terus berharap Malaysia akan layak ke Piala Dunia 2030 pula. Adakah harapan ini akan menjadi kenyataan atau ia sekadar angan-angan yang tak akan menjadi realiti?

Tak dinafikan sudah banyak idea dan usaha dilakukan FAM untuk menjadikan Malaysia sebagai kuasa bola sepak. Ia memang ada menunjukkan peningkatan terutama selepas kedatangan jurulatih Korea Selatan, Kim Pan Gon dan kemasukan pemain naturalisasi serta pemain warisan atau berdarah campuran, tetapi masih belum cukup memberi impak besar.

Ketika melayari internet mencari maklumat mengenai pasukan kebangsaan, saya terjumpa keratan muka belakang akhbar Berita Harian bertarikh 30 Julai 1999 dengan tajuk ‘FAM sasar 2014 layak ke Piala Dunia’.

Jika mengikut sasaran dan perancangan FAM itu, Harimau Malaya sepatutnya sudah beraksi di Piala Dunia di Brazil itu. Nampaknya ia masih lagi menjadi harapan dan angan-angan.

Selepas Piala Dunia 2018 dan Piala Dunia 2022, kita bukan saja gagal ke kejohanan itu, tetapi masih gagal mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia.

Entahlah, sebagai peminat kadang-kadang saya merasakan ia misi mustahil. Di Asia Tenggara, kita masih sukar untuk menewaskan Vietnam, Thailand dan Indonesia, apatah lagi untuk berdepan dengan pasukan dari Eropah, Amerika Selatan dan Afrika.

Sebagai peminat juga saya merasakan kita perlu ada ramai pemain yang berpangkalan di liga bola sepak di Eropah di mana saingannya lebih kompetitif dan mencabar.

Kalau setakat bermain di Liga Malaysia saja, ia memang sukar. Pengalaman di sini tidak cukup untuk menentang pasukan dari luar terutama dari Eropah.

Lihatlah Korea Selatan dan Jepun di mana kebanyakan pemain utama mereka berpangkalan di Eropah. Tapi, bagaimana kita nak buat? Apa caranya yang membolehkan bintang-bintang ini menarik minat kelab-kelab dari liga utama Eropah?

Nampaknya, saya perlu meneruskan lagi angan-angan saya.

Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top