am@hmetro.com.my
Georgetown: Kegembiraan sekeluarga dari Selangor yang bercuti sempena Hari Kebangsaan di Pantai Miami, Jalan Batu Feringghi di sini, hari ini hampir bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka nyaris lemas.
Difahamkan, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menyelamatkan mangsa turut cedera di lutut dan paha akibat terkena batu selepas dihempas ombak.
Pegawai Operasi APM Unit Tanjung Bungah, Mohammad Lili Mat Ibrahim berkata, kejadian berlaku pada 4.15 petang berhampiran Menara Tinjau APM.
Katanya, mangsa yang berusia 36 tahun itu dikesan kira-kira 15 meter dari pantai sebelum diselamatkan.
“Ketika kejadian, keadaan ombak bergelora dan anggota APM mengesan kedudukan mangsa sebelum berenang bagi menyelamatkannya. Keadaan mangsa stabil namun sedikit lemah dan sakit di belakang badan, impak daripada terkena batu.
“Ombak kuat itu turut menyebabkan anggota APM cedera ketika menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd