SEMENYIH: Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diancam tonto dan diugut pemilik lori selepas dua kenderaan itu ditahan atas kesalahan melebihi muatan semasa operasi di Persiaran Perdana, Putrajaya, baru-baru ini.
Dalam kejadian pada 12 April lalu, pemilik lori itu datang menaiki Toyota Vellfire dengan beberapa tonto dan membuat provokasi terhadap anggota JPJ bertugas.
Difahamkan, pemandu lori telah mematikan Sistem Kedudukan Global (GPS) serta memancitkan tayar salah sebuah lori yang ditahan menyebabkan kesukaran kepada anggota JPJ untuk membawa lori tersebut ke stesen penguatkuasaan.
Dalam satu insiden berasingan minggu lalu di Rawang, pegawai JPJ yang menjalankan pemeriksaan rutin terhadap sebuah lori turut dikepung sekumpulan lelaki dipercayai ‘tonto’ yang diupah oleh pemilik lori terbabit.
Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, berhubung insiden di Putrajaya pada 12 April lalu, pemilik kedua-dua lori berkenaan datang ke lokasi dengan menaiki Toyota Vellfire bersama beberapa tonto dan mencetuskan kekecohan bagi menakutkan pegawai penguatkuasaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, pemandu lori telah mengubah suai GPS kenderaan dan mengempiskan tayar kedua-dua lori tersebut.
“Beberapa individu tidak dikenali juga berkeliaran di kawasan sepanjang Persiaran Perdana, Putrajaya selama kira-kira tiga hari untuk mengintimidasi anggota kami serta menghalang tukang tayar daripada mengepam tayar supaya lori-lori tersebut dapat disita,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Kifli berkata, pihaknya cuba menyita Toyota Vellfire terbabit, namun suspek melarikan diri.
Susulan itu, jelasnya, anggota JPJ membuat tiga laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berkaitan kejadian terbabit kerana menghalang tugas penjawat awam.
“Tiga laporan polis dibuat berkaitan insiden menghalang penjawat awam menjalankan tugas, menghalang tukang tayar membaiki tayar dan melarikan diri dengan kenderaan yang hendak disita.
“Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh anggota kami dalam melaksanakan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat,” katanya.
Menurutnya, dua pemandu lori dan seorang pemilik lori, berusia 40-an, telah ditahan polis.
“Kira-kira seminggu lalu, anggota kami juga telah cuba menahan sebuah lori membawa batu di Rawang.
“Namun, pemandu lori tersebut membuang muatan di atas jalan raya sehingga menghalang lalu lintas. Pada masa sama, anggota kami turut dikepung sekumpulan lelaki dipercayai ‘tonto’ bagi menghalang tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku, selaras dengan amaran Menteri Pengangkutan kepada ‘tonto’ dan samseng sebelum ini, agar mereka tidak mengganggu atau mengancam pegawai JPJ.
Jelasnya, pemandu dan pemilik lori perlu ingat, kegagalan mematuhi arahan pegawai JPJ, khususnya berkaitan penimbangan kenderaan berat, adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 234(c) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM500,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kenderaan juga boleh disita dan dilucut hak di bawah Subseksyen 80(4) akta yang sama,” katanya.- UTUSAN