PASIR SALAK: Anggota polis yang dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan tali air di Jalan Utama Changkat Lada, Kampung Gajah di sini semalam, ditemukan mati lemas hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat Koperal Muhammad Taufik Sayuti berusia 39 tahun itu dijumpai oleh pasukan penyelamat pada pukul 4.55 pagi.
Katanya, mayat anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah itu dijumpai di kawasan tebing pada jarak tiga meter dari pusat kawalan bomba (PKB).
“Mayat mangsa kemudian dinaikkan dengan menggunakan ‘bucket stretcher’ dan ‘webbing’ dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Semalam, seorang anggota polis dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di kawasan tali air tersebut bersama rakan-rakannya.
Difahamkan, ketika aktiviti itu, mangsa dikatakan keletihan dan cuba bergerak ke tebing namun dihanyutkan arus deras.
Mangsa dikatakan pulang ke kampungnya untuk bercuti dan sebelum kejadian sempat menghadiri ‘reunion’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada di sini. – UTUSAN