am@hmetro.com.my
Putrajaya: Rata-rata pegawai dan anggota polis tidak menganggap syarat mewajibkan mereka mempunyai indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 untuk menikmati kenaikan pangkat sebagai penghalang besar kepada mereka.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima beliau ketika turun padang di beberapa negeri sejak kebelakangan ini, pegawai dan anggota memberikan maklum balas positif berhubung syarat baharu itu.
“Saya dapati ia diterima baik, paling tidak pun melalui pengalaman saya berinteraksi dengan mereka. Saya bukan dapat laporan daripada Datuk Ayob (Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay) atau Datuk Azmi (Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim).
“Saya sendiri turun bertegur sapa dengan mereka, bertanya adakah ia akan menjadi penghalang besar kepada mereka (untuk kenaikan pangkat). Tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persediaan menjelang Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE’25), hari ini.
Khamis lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan anggota polis kini perlu memenuhi syarat mempunyai BMI kurang daripada 28 untuk menikmati kenaikan pangkat.
Katanya, syarat BMI itu adalah antara kriteria yang ditambah bagi memastikan proses kenaikan pangkat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi lebih ketat.
Saifuddin berkata, kecergasan dalam kalangan anggota polis adalah cerminan kepada tuntutan disiplin dalam perkhidmatan itu.
“Apa yang kita nak sampaikan daripada kepemimpinan polis adalah sebagai pasukan penguatkuasaan undang-undang terbesar, kecergasan dan disiplin adalah keutamaan kita, selain kepakaran profesional lain,” katanya.
Sementara itu, berhubung kedatangan lebih banyak bot pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Myanmar memasuki perairan negara ini, susulan faktor siklon angin bermula Disember lalu hingga Mac depan yang menjadi tempoh sesuai untuk mereka belayar ke Malaysia atau negara sekitar, Saifuddin berkata, ia bukan bergantung kepada soal cuaca kerana pihak berkuasa mengesan kedatangan bot Pati itu hampir setiap hari.
Katanya, faktor push and pull menyebabkan kebanjiran Pati dari Myanmar ke negara ini, yang mana push (penolak) adalah keadaan di negara itu dan pull (penarik) ialah keamanan di negara ini, yang menyebabkan pendatang meletakkan harapan untuk mengubah nasib mereka.
“Justeru, saya beri jaminan, pasukan penguat kuasa kita, khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), menjalankan tugas dengan penuh cekap untuk mengawal sempadan samudera,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi bot Pati dari Myanmar memasuki perairan negara ini.
Katanya, faktor siklon angin bermula Disember lalu hingga Mac depan adalah tempoh sesuai untuk mereka belayar ke Malaysia atau negara sekitar. Justeru, Maritim Malaysia mengaktifkan OP GUARD 4.0, membabitkan operasi bersepadu bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Maritim (PPM), dan Jabatan Imigresen bagi mengekang kemasukan Pati Myanmar.
© New Straits Times Press (M) Bhd