zahratulhayat@nst.com.my
Tanjung Malim: Wanita maut manakala suaminya, seorang anggota tentera cedera selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan dan terbabas di KM96 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur dekat sini, hari ini.
Mangsa yang maut dikenali Nur Syuhada Mohd Yusoff, 32, dari Kampung Salor, Pengkalan Kubor, Kelantan, manakala suaminya, Muhammad Aiman Shah Asba, 34.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim Deputi Superintendan Suhaimi Muhamad berkata, kejadian berlaku kira-kira 3 petang apabila Toyota Vios dipandu suami mangsa hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
“Siasatan awal mendapati kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Kuala Lumpur apabila pemandu hilang kawalan dipercayai akibat permukaan jalan yang basah akibat hujan.
“Akibatnya, kereta mangsa rosak teruk di bahagian depan dan sebelah kiri. Penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota perubatan, manakala pemandunya cedera ringan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat dan pemandu turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd