harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Siasatan membabitkan seorang anggota tentera yang maut dipercayai akibat ditembak pemburu haram dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kejadian yang terjadi di kawasan hutan Song, Bahagian Kapit, Sarawak awal pagi hari ini.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut kes ini termasuk mengesan saksi-saksi berkaitan dan proses bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan esok,” katanya hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan di kawasan hutan di Song dalam Bahagian Kapit, maut terkena tembakan dipercayai dilepaskan pemburu haram pagi hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dilapor berkata kejadian itu membabitkan mangsa yang berpangkat koperal berusia 28 tahun dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kapit pada 7.43 pagi.
Susulan itu Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan mangsa sedang menjalani Eksesais Pasak Bumi (EPB) bermula 21 hingga 29 September di kawasan hutan berkenaan.
TDM dilapor berkata mangsa adalah anggota formasi Briged 9, Sibu iaitu sebahagian daripada Batalion ke-13 Rejimen Renjer Diraja Sarawak.
© New Straits Times Press (M) Bhd