rnoraina@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Masalah brek dipercayai punca sebuah lori terbabas merempuh seorang penunggang motosikal sehingga maut dalam kejadian di hadapan Masjid Bandar Baru Sungai Buloh di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, polis menerima laporan mengenai kemalangan membabitkan sebuah lori dan dua motosikal pada 2.15 petang.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa penunggang motosikal yang juga anggota tentera dalam perjalanan dari kuarters Kem Paya Jaras ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
“Semasa mangsa membelok masuk ke arah parkir di belakang masjid, datang sebuah lori dipandu lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai hilang kawalan akibat masalah brek terus melanggar mangsa sehingga terperosok ke bawah lori.
“Lori berkenaan turut merempuh sebuah lagi motosikal yang diparkir, gerai makan dan dinding konkrit masjid,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa tersepit di bawah lori disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk tindakan lanjut.
Katanya, jenazah mangsa diuruskan oleh pihak tentera dan akan dibawa pulang ke kampung halaman di Sarawak untuk urusan pengebumian.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Che Hassan Ambok di talian 013-3940423 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222.
Harian Metro terdahulu melaporkan, penunggang motosikal berusia 30 tahun maut dirempuh lori dalam kejadian di hadapan Masjid Bandar Baru Sungai Buloh.
© New Straits Times Press (M) Bhd