Ankara: Sekurang-kurangnya 52,908 rakyat Palestin maut dalam serangan genosid yang dilancarkan Israel sejak Oktober 2023, menurut Kementerian Kesihatan pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kenyataan kementerian itu menyatakan, 46 orang terkorban dalam serangan Israel di kawasan itu dalam tempoh 24 jam yang lepas, manakala 73 yang lain cedera, menjadikan jumlah mangsa kecederaan keseluruhan kepada 119,721 akibat serangan Israel.
“Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan kerana penyelamat tidak dapat menghampiri mereka,” menurut kenyataan itu lagi.
Tentera Israel menyambung semula serangan ke Gaza pada 18 Mac dan sejak itu 2,780 orang maut dan hampir 7,700 yang lain cedera, selain menjejaskan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang mula dilaksanakan pada Januari.
Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana serangan terhadap kawasan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd