Islamabad: Agensi penyelamat dan bencana Pakistan pada Isnin sedang memuktamadkan rancangan untuk memindahkan ribuan penduduk berikutan amaran hujan monsun yang lebih lebat, ketika jumlah korban akibat banjir sejak beberapa minggu lepas meningkat hampir 300 orang, menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa).
Sekurang-kurangnya 279 orang, hampir separuh daripadanya kanak-kanak maut dalam insiden berkaitan hujan lebat dan banjir sejak akhir bulan lepas, menurut agensi bencana kebangsaan negara itu.
Satu lagi gelombang hujan dijangka melanda negara itu, yang berpotensi mencetuskan banjir kilat dan limpahan air di kawasan bandar, menurut Jabatan Meteorologi Pakistan.
“Ini akan menjadi gelombang hujan paling lebat sepanjang musim monsun kali ini,” kata ahli meteorologi Raja Ibrar, merujuk kepada musim hujan di Asia Selatan yang berlangsung dari Julai hingga September.
Jabatan penyelamat di wilayah tengah Punjab sedang memuktamadkan pelan kontingensi untuk memindahkan penduduk dari kawasan tebing sungai sekiranya berlaku banjir, kata jurucakap agensi itu, Farooq Ahmad.
“Kami dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya, dengan ribuan anggota penyelamat dan ratusan bot bersedia. Helikopter juga dalam mod siap siaga,” kata Ahmad mengenai wilayah di mana kebanyakan kematian dilaporkan berlaku.
Agensi bencana itu turut menasihatkan kerajaan wilayah lain agar terus memantau keadaan semasa secara berterusan.
Pakistan antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Lebih 2,000 orang terkorban akibat banjir dan penyakit susulan di Pakistan pada tahun 2022, ketika satu pertiga daripada negara Asia Selatan itu ditenggelami air.
© New Straits Times Press (M) Bhd