Puisi, lagu dan cinta kini bersatu di layar perak menerusi Rangga & Cinta iaitu sebuah filem muzikal arahan Riri Riza.
Menjanjikan pengalaman penuh warna, emosi dan nostalgia, filem ini pastinya membuat penonton ingin turut sama menyanyi di pawagam bermula 6 November 2025 ini.
Diterbitkan oleh Miles Films, karya ini mengangkat semula kisah ikonik Ada Apa Dengan Cinta? (AADC?) namun diberi nafas baharu melalui gabungan melodi, irama dan dialog puitis.
Menariknya, lagu-lagu dalam filem ini digubah oleh duo legenda Melly Goeslaw dan Anto Hoed. Nama besar di sebalik runut bunyi klasik seperti Ada Apa Dengan Cinta dan Bimbang, gubahan duo hebat ini menjadi nadi utama penceritaan, menghidupkan semula nostalgia cinta pertama buat generasi lama dan memperkenalkan semula magis kisah cinta remaja kepada generasi baharu.

Rangga dan Cinta lalui proses uji bakat ketat
Rangga & Cinta Filem juga turut memperkenalkan wajah baharu iaitu, El Putra Sarira (Rangga) dan Leya Princy sebagai (Cinta).
Kedua-dua bintang muda ini diberikan peranan untuk memikul tanggungjawab besar menggantikan ikon terdahulu iaitu, Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo, selepas melalui proses uji bakat ketat.
Kini, penonton berpeluang menyaksikan interpretasi segar watak Rangga yang tetap misteri dan puitis, serta Cinta yang bijak dan menawan namun, dengan jiwa dan bahasa emosinya yang lebih dekat dengan generasi Z.

Menurut pengarah tersohor, Riri Riza, Rangga & Cinta disifatkannya sebagai bukti keberanian sinema Indonesia dalam meneroka bentuk penceritaan baharu yang lebih kreatif dan ekspresif.
“Selain bekerjasama dengan ramai pengarah muda dalam projek ini, saya amat bersyukur dapat kembali meneroka genre muzikal terutama dengan runut bunyi asal yang amat disayangi ramai hasil ciptaan Melly Goeslaw dan Anto Hoed.
“Saya berharap penonton dapat merasai kegembiraan dan kehangatan emosi yang sama seperti yang kami alami sepanjang proses pembikinan filem ini,” katanya.
Untuk makluman, sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi, Primeworks Studios turut berkongsi keterujaan untuk membawa magis kisah cinta abadi ini kepada penonton tempatan.
Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.






