najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya tiada masalah kalau dia nak kacau saya, tapi jangan sentuh keluarga saya,” kata penyanyi, Ani Mayuni yang didakwa bergaduh dengan penyanyi dangdut wanita selepas wujud perselisihan faham antara mereka sebelum ini.
Ani ketika ditemui Harian Metro memberitahu, hubungannya dengan penyanyi itu bagaimanapun sudah kembali jernih dan saling bermaaf-maafan.
“Pada mulanya hubungan kami agak tegang, tapi selepas berjumpa dan menjelaskan situasi sebenar semuanya berada dalam keadaan baik.
“Kami sudah saling bermaafan dan saya pun tidak menyimpan dendam. Lagipun saya sudah mendengar penjelasan mengenai salah faham yang berlaku.
“Sejujurnya saya susah nak marah orang dan tak suka layan benda yang remeh. Cuma jangan membabitkan keluarga saya.
“Namun kalau tersentuh (hal keluarga), saya sekadar nak tahu kebenaran betul atau tidak sebab saya ada semua bukti,” katanya ketika ditemui pada majlis previu bufet Ramadan di St Giles Boulevard Hotel Mid Valley, di sini, malam tadi.
Menurut Ani, ketegangan antara mereka mula disedari selepas dia tiba-tiba memilih untuk menjauhkan diri dan tidak banyak bercakap seperti kebiasaan ketika bertemu dalam sebuah program hiburan.
“Pada awalnya saya beritahu suami yang saya tidak mahu bercakap dengan penyanyi itu kerana masih berkecil hati.
“Namun, keesokannya penyanyi itu tiba-tiba bertanya kenapa saya berubah sikap sedangkan dia tak tahu apa yang berlaku.
“Saya fikir kalau saya terus berdiam diri masalah tidak akan selesai sehinggalah saya membuka mulut dan menjelaskan perkara sebenar kerana membabitkan ramai pihak yang mengesahkan diri saya diburukkan oleh penyanyi ini.
“Namun selepas kami cuba mencari jalan perdamaian, saya rasa isu yang berlaku hanya salah faham. Kami terus saling bermaafan dan saya akui sangat sedih apabila bergaduh dengan kawan sendiri yang kita sangat rapat,” katanya.
Menurutnya, dia bersyukur apabila hubungannya dengan penyanyi itu sudah kembali pulih dan masih rapat.
Sementara itu, sepanjang Ramadan ini, Ani bakal bergandingan dengan Kelly Azman untuk membuat persembahan di St Giles Boulevard Hotel Mid Valley.
Ani berkata, dia dan Kelly sudah 14 tahun bergandingan untuk menghiburkan tetamu sebelum dan selepas berbuka puasa. Namun buat julung kalinya mereka bakal beraksi di hotel itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd