Gambar dari kiri: Datu Anif, Nuraqilah
[DIKEMAS KINI] KAPTEN bersama skuad remaja negara, Datu Anif Isaac Datu Asrah dan Nuraqilah Maisarah Ramdan bakal melalui situasi janggal apabila turun sebagai seteru dalam acara individu Kejohanan Badminton Remaja Asia di Solo, Indonesia.
Biarpun bekerjasama memimpin pasukan, mereka bakal bersaing dalam aksi beregu campuran apabila Datu Anif digandingkan dengan Dania Sofea Zaidi, manakala Nuraqilah bersama Loh Zi Heng.
“Berasa agak aneh apabila fikirkan kami kapten bersama, tetapi akan jadi lawan di gelanggang, namun saya anggap ini cabaran profesional dan peluang untuk saya buktikan sesuatu,” ujar Datu Anif yang merupakan kedua kejohanan ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.
Kejohanan tersebut dijadual bermula dari 18 hingga 27 Julai ini.
Nuraqilah pula menyifatkan, hubungan baik antara mereka tidak menjejaskan semangat juang masing-masing kerana persaingan sihat penting bagi melonjakkan prestasi.
“Saya dan Datu Anif memang rapat sebagai rakan sepasukan, tetapi apabila di gelanggang, saya kena fokus untuk menang. Kami ada misi masing-masing dalam acara individu,” katanya.
Malah mereka mengakui saling mengenali kekuatan dan kelemahan masing-masing kerana berlatih bersama di bawah jurulatih yang sama sepanjang persediaan ke kejohanan tersebut.
“Memang ada tekanan sebagai pilihan kedua, tetapi saya suka cabaran seperti ini sebab ia beri saya motivasi untuk sumbang pingat buat negara,” ujar Datu Anif.