Anif tak gentar tanpa Dania di Guwahati

Anif tak gentar tanpa Dania di Guwahati


Skuad badminton negara membawa cabaran besar di Kejuaraan Remaja Dunia 2025 di Guwahati, India bermula Isnin.

TANPA gandingan tetap, tanpa pengalaman bersama yang panjang namun Datu Anif Isaac Datu Asrah tidak sesekali mahu menjadikan itu alasan untuk berundur.

Anak muda berjiwa besar itu tetap memasang impian membawa pulang sesuatu yang bermakna apabila bergandingan dengan muka baharu, Low Zi Yu pada Kejuaraan Remaja Dunia 2025 di Guwahati, India bermula Isnin.

Kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) yang menimpa rakan lamanya, Dania Sofea Zaidi, pada Ogos lalu membuka lembaran baharu buat Anif.

Dalam masa sebulan, dia perlu menyesuaikan diri dengan pasangan baharu satu tempoh singkat yang memerlukan ketenangan, keserasian dan kepercayaan mutlak di gelanggang.

Namun, bagi Anif tiada ruang untuk gusar apabila menyifatkan setiap peluang yang hadir tetap perlu direbut dan dimanfaatkan sebaiknya.

“Saya tidak menetapkan sasaran terlalu tinggi kerana kami baru sebulan berpasangan. Fokus kami hanya untuk beraksi sebaik mungkin dan menikmati permainan.

“Kami sedar cabaran ini tidak mudah, tetapi saya mahu gunakan peluang ini untuk buktikan kami juga mampu bersaing.

“Yang penting, kami turun tanpa tekanan dan berjuang habis-habisan,” katanya baru-baru ini.

Anif yang berusia 17 tahun itu mengakui perubahan pasangan memberi sedikit cabaran dari segi keserasian.

Namun dalam masa sama menurutnya, ia membuka peluang untuk tampil dengan gaya permainan baharu yang lebih segar dan sukar dijangka lawan.

“Ramai lawan sudah biasa menganalisis corak permainan saya bersama Dania, tetapi kali ini mereka belum tahu rentak saya dengan Zi Yu.

“Itu kelebihan kami. Zi Yu tinggi dan mampu bermain di bahagian belakang gelanggang, jadi kami boleh bertukar posisi dengan lebih fleksibel. Ia memberi variasi dalam serangan kami,” katanya.

Ringkasan AI

  • Anif Isaac Datu Asrah tidak mahu menjadikan ketiadaan gandingan tetap sebagai alasan untuk berundur
  • Anif memasang impian membawa pulang sesuatu bermakna di Kejuaraan Remaja Dunia 2025 bersama pasangan baru, Low Zi Yu
  • Kecederaan rakan lamanya, Dania Sofea Zaidi, membuka lembaran baru buat Anif dengan pasangan baru dalam masa sebulan
  • Anif menyifatkan setiap peluang yang hadir perlu direbut tanpa menetapkan sasaran terlalu tinggi hanya mahu beraksi sebaik mungkin
  • Perubahan pasangan memberi cabaran keserasian namun membuka peluang untuk tampil dengan gaya permainan yang lebih segar



Source link

OR

Scroll to Top