September 8, 2024

Anjur bersama Sukan SEA: Pulau Pinang sokong usaha pembangunan sukan

Anjur bersama Sukan SEA: Pulau Pinang sokong usaha pembangunan sukan


GEORGE TOWN – Keputusan Pulau Pinang yang bersetuju menerima tawaran menjadi hos bersama penganjuran temasya Sukan SEA 2027 adalah bagi menyokong usaha kerajaan ke arah pembangunan sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata selain itu, kerajaan negeri berpendapat dengan mengambil bahagian dalam penganjuran sukan tersebut, ia akan membantu dalam pembangunan sosial dan ekonomi termasuk sektor pelancongan.

Beliau berkata ia berikutan temasya sukan dwi-tahunan itu melibatkan penyertaan daripada negara ASEAN sekali gus dapat menarik kehadiran pelancong ke negeri ini khususnya dari negara yang mengambil bahagian di samping pelancong domestik dan luar yang lain.

“Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mendapatkan maklum balas daripada negeri-negeri berhubung hasrat untuk menganjurkan temasya Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 melalui surat bertarikh 21 Jun 2024.

“Dalam surat tersebut KBS turut menyatakan bahawa konsep penganjuran “whole-of-nation” di ambil untuk menjayakan penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 dengan melibatkan semua negeri, justeru sebagai usaha menyokong kepada pembangunan sukan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berminat untuk menjadi hos bersama,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Daniel berkata buat masa ini pihaknya telah mengemukakan cadangan untuk mengadakan satu acara sukan di negeri ini namun tidak memperincikan jenis sukan tersebut.

Bagaimanapun, cadangan itu akan diperhalusi semula bersama KBS dengan turut mengambil kira reaksi dan respons daripada negeri-negeri lain sebelum ia dimuktamadkan, tambah beliau.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan Pulau Pinang menjadi negeri terbaharu selepas Sarawak yang menyatakan minat untuk menjadi hos bersama penganjuran temasya Sukan SEA 2027.

Selepas Sarawak menyatakan kesediaan untuk berkongsi kos penganjuran bersama kerajaan Persekutuan dengan syarat acara perasmian temasya sukan dan sebahagian acara lain diadakan di Bumi Kenyalang, Pulau Pinang pula menyatakan hasrat untuk menganjurkan jenis-jenis sukan tertentu di negeri itu.

Hannah berkata Majlis Sukan Negara (MSN) kini sedang menyediakan kertas kajian impak penganjuran Sukan SEA 2027 kepada Kabinet sebelum temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris bermula 26 Julai ini.

Pada 22 Mei 2022, Mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran Sukan SEA 2027 kepada Malaysia berikutan penarikan diri Brunei, manakala Thailand dan Singapura masing-masing diberi kebenaran menganjurkan temasya itu pada 2025 dan 2029.- BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top