Ankalaev melepaskan tumbukan padu ketika petarungan UFC 313 menentang Alex Pereira.
MAGOMED Ankalaev menjadi petarung ketiga dari Dagestan, Rusia dinobatkan selaku juara dunia UFC selepas menumbangkan penyandang juara lightheavyweight, Alex Pereira pada Ahad.
Acara utama UFC 313 yang berlangsung di T-Mobile Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat itu menyaksikan Ankalaev dan Pereira bertarung sehingga pusingan kelima, namun kemenangan berpihak kepada jaguh Rusia tersebut menerusi keputusan sebulat suara juri.
Ini adalah percubaan kedua Ankalaev untuk membawa pulang gelaran lightheavyweight selepas gagal pada percubaan pertama di tangan Jan Blachowicz.
Kemenangan berturut-turut ke atas Johnny Walker dan Aleksandar Rakic memberikannya peluang untuk mencabar gelaran milik Pereira.
Menjelang pertarungan yang dinanti-nantikan itu dengan rekod tanpa kalah dalam 13 pertarungan terakhirnya, Ankalaev memanfaatkan momentum untuk menggagalkan rancangan
Pereira untuk mempertahankan gelarannya buat kali keempat.
Selain Ankalaev, dua lagi petarung Dagestan yang menjadi juara di UFC ialah Khabib Nurmagomedov dan Islam Makhachev.