Pelakon popular Anna Jobling mencipta momen manis apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Utama OhBulan! Paling Viral Online, sekali gus mengukuhkan pengaruhnya sebagai antara selebriti paling berpengaruh di dunia digital sepanjang tahun ini.
Kejayaan tersebut didorong oleh sokongan kuat peminat serta populariti luar biasa yang menyaksikan namanya menjadi antara paling banyak diperkatakan di media sosial.
Pada malam kemuncak yang berlangsung di Balai Berita, Bangsar sebentar tadi, Anna turut membawa pulang trofi Selebriti Paling Viral, menjadikan kemenangannya berganda dan lebih bermakna.

Dalam kategori lain, Kelab Peminat Paling Viral menjadi milik kelab penyokong penyanyi Siti Nordiana.
Tidak hanya itu, Siti Nordiana turut dinobatkan sebagai pemenang Lagu Paling Hot (Kolaborasi bersama Hot FM) menerusi lagu duet bersama Tomok berjudul Memori Mungkin Berulang.
Untuk kategori digital, Ryan Bakery diumumkan sebagai Digital Content Creator Paling Viral, manakala Drama Paling Viral dimenangi karya berjudul Keluarga Itu. Seterusnya, kategori Usahawan Paling Viral pula menjadi milik Ojen Aiwah.
OhBulan! Paling Viral Online dianjurkan oleh portal hiburan OhBulan! dan disiarkan secara langsung menerusi akaun TikTok rasmi mereka.
Program digital ini diwujudkan sebagai platform untuk meraikan individu yang mencetuskan fenomena besar serta memberikan impak signifikan dalam industri hiburan dan kandungan digital.

Anugerah ini meliputi pelbagai kategori membabitkan selebriti, pempengaruh media sosial, pencipta kandungan, usahawan, drama, lagu dan kelab peminat.
Keunikan utama penganjuran ini ialah pemenang dipilih sepenuhnya melalui undian peminat, sekali gus memberi pengiktirafan terus kepada sokongan komuniti digital.
Selain mengangkat pencapaian kandungan tular, OhBulan! Paling Viral Online turut berfungsi sebagai pengiktirafan terhadap pengaruh digital yang semakin kuat pada era teknologi masa kini.
Menurut Ketua Kandungan Editorial OhBulan!, Noor Zulaikha Yusof, penganjuran ini bukan sekadar acara hiburan semata-mata, tetapi penghargaan buat peminat yang menjadi tulang belakang kejayaan selebriti.
“OhBulan! Paling Viral Online dianjurkan buat pertama kalinya tahun ini. Program ini bukan sahaja meraikan selebriti, pencipta kandungan, usahawan, lagu dan drama paling tular, malah kami turut mewujudkan satu kategori khas bagi menghargai peranan peminat,” katanya.
Zulaikha yakin dengan sokongan berterusan, OhBulan! Paling Viral Online berpotensi berkembang sebagai platform pengiktirafan digital yang berpengaruh pada masa akan datang.
Dihoskan oleh Fizi Ali sebagai pengacara utama dan Mikha selaku pengacara bersama, Arghpies, Shiha Zikir dan Roslan Shah turut memeriahkan malam acara dengan persembahan mereka.






