Antara Cinta, Agama & Restu, ‘Jika Itu Salahku’ Pertemukan Sophia Albarakbah dan Alvin Chong

Antara Cinta, Agama & Restu, ‘Jika Itu Salahku’ Pertemukan Sophia Albarakbah dan Alvin Chong

Antara Cinta, Agama & Restu, ‘Jika Itu Salahku’ Pertemukan Sophia Albarakbah dan Alvin Chong


Tiada yang mudah apabila berbicara soal cinta, terutama apabila ia melibatkan dua jiwa dari dunia berbeza. Begitulah kisah yang ingin disampaikan menerusi drama terbaharu slot Lestary TV3, Jika Itu Salahku, yang bakal menemui penonton mulai 17 Oktober ini, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam.

Menampilkan gandingan serasi Sophia Albarakbah dan Alvin Chong selaku teraju utama, drama 13 episod terbitan Global Station Sdn Bhd ini diadaptasi daripada novel karya Liza Nur, dengan sentuhan arahan Riza Baharuddin.

Sarat dengan nilai kemanusiaan, keinsafan dan konflik emosi, Jika Itu Salahku mengajak penonton menyelami perjalanan dua insan Asyiqeen (lakonan Sophia) dan Ashraff Ivan Tang (Alvin) yang mencari makna cinta, agama dan keikhlasan dalam kehidupan.

Turut membintangi drama ini ialah Dato’ Ziela Jalil, Fadilah Mansor, Shamsul Ghau Ghau dan Steve Yap, yang menghidupkan jalan cerita penuh konflik dan pengajaran.

Menurut Alvin Chong, membawa watak Ivan memberi pengalaman peribadi yang mendalam buat dirinya.

“Watak ini beri saya peluang memahami sisi spiritual yang jarang saya bawa dalam lakonan. Ia bukan sekadar kisah cinta, tetapi tentang pencarian diri dan keyakinan. Saya belajar bagaimana kasih dan kepercayaan boleh wujud walaupun dalam dunia berbeza,” katanya.

Kisah Jika Itu Salahku berpusat pada watak Asyiqeen, seorang gadis yang dibesarkan tanpa bimbingan agama dan terpaksa memikul tanggungjawab menjaga adiknya, Balqis, yang menghidap sindrom Down. Hidup dalam penderitaan di bawah jagaan neneknya, Mak Tok (Fadilah Mansor), Asyiqeen akhirnya melalui tragedi yang mengubah arah hidupnya.

Pertemuannya dengan Ivan lelaki kacukan yang hidup bebas tanpa panduan membuka lembaran baharu dalam hidupnya. Dari perbezaan itu lahir rasa cinta yang menguji bukan hanya hati, tetapi juga prinsip dan keimanan mereka.

Persoalannya, mampukah dua jiwa ini benar-benar bersatu di atas dasar keikhlasan, atau akhirnya tunduk kepada perbezaan agama yang memisahkan?

Drama ini boleh ditonton mulai Jumaat ini di slot Lestary TV3, manakala episod baharu boleh distrim 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.



Source link

OR

Scroll to Top