Antara Emosi, Aksi & Eksperimen… Siapa Bakal Rangkul Trofi Filem Terbaik FFM34?

Antara Emosi, Aksi & Eksperimen… Siapa Bakal Rangkul Trofi Filem Terbaik FFM34?


Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) kali ini memperlihatkan saingan sengit lima karya unggul yang menampilkan pelbagai genre serta gaya sinematik berbeza, menandakan kematangan baharu dalam industri perfileman tempatan.

Lima calon utama bagi kategori Filem Terbaik ialah Blood Brothers: Bara Naga, Babah, Reversi, Takluk: Lahad Datu dan Soloz: Game of Life.

Kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Komunikasi Malaysia turut mengumumkan bahawa pemenang Filem Terbaik akan menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta.

Ia adalah satu bentuk  penghargaan besar yang bukan sekadar hadiah kemenangan, tetapi juga dorongan untuk karya tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

Blood Brothers: Bara Naga Filem Aksi Penuh Emosi

Karya arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra ini menjadi antara calon pilihan utama selepas mencatat kutipan tinggi di pawagam serta menerima jumlah pencalonan terbanyak di FFM34.

Dipuji kerana kekuatan visual, koreografi aksi yang kemas serta lakonan mantap, filem ini menonjolkan nilai persaudaraan, pengorbanan dan kepercayaan dalam dunia jenayah moden.

Ulasan menyebut kekuatan filem ini terletak pada keseimbangan antara hiburan komersial dan emosi yang mendalam sekali gus menjadikannya pesaing paling kuat untuk merai trofi utama.

Babah Filem Penuh Jiwa & Kasih Sayang

Mengisahkan hubungan kasih antara bapa dan anak yang dipersembahkan dengan kejujuran dan ketulusan luar biasa. Filem arahan Mohd Shah Faizul Ibrahim ini tampil sederhana namun sarat emosi.

Meskipun naratifnya perlahan, Babah dipuji kerana keaslian dan kekuatan lakonan yang menyentuh hati. Ia berpotensi mencipta kejutan jika juri memberi keutamaan kepada nilai kemanusiaan dan keindahan penceritaan.

Reversi Filem Eksperimen Psikologi Penuh Keberanian

Filem arahan Adrian Teh ini tampil berbeza dengan pendekatan psikologi dan struktur penceritaan tidak konvensional. Naskhah yang memperlihatkan persembahan  mantap Beto Kusyairi ini menerima pujian meluas diatas penghayatan watak kompleks yang penuh konflik dalaman menerusi lakonannya.

Walaupun dianggap sukar difahami oleh penonton, Reversi menonjol dari segi keberanian artistik dan kematangan pengarahan dan ini menjadikannya taruhan kuat bagi kategori teknikal dan pengarahan terbaik.

Takluk: Lahad Datu Filem Aksi Patriotik Sarat Semangat Wira

Diinspirasikan daripada peristiwa sebenar, filem arahan Zulkarnain Azhar ini mengangkat kisah perjuangan dan keberanian pasukan keselamatan negara.

Sinematografi dan rekaan produksinya dipuji kerana realistik serta berkualiti tinggi, meskipun ada pandangan mengatakan jalan ceritanya kurang mendalam dari sudut emosi.

Namun, Takluk: Lahad Datu tetap menjadi karya penting yang menonjolkan semangat patriotik dan pengorbanan luar biasa.

Soloz: Game of Life Dari Dunia Digital Ke Layar Perak

Menampilkan tema e-sukan yang jarang diteroka dalam sinema tempatan, filem ini merupakan percubaan berani Syafiq Yusof dalam membawa realiti dunia maya ke layar besar.

Idea segar dan visual moden menjadikannya unik, namun kelemahan dari segi pembangunan watak dan naratif sedikit mengekang potensinya untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Meskipun terdapat sedikit cela, namun filem Soloz tetap membuka jalan baharu untuk generasi sinema digital Malaysia.

Secara keseluruhan, filem Blood Brothers: Bara Naga dilihat calon paling berpotensi merangkul Filem Terbaik FFM34 berdasarkan kekuatan teknikal, penerimaan penonton dan nilai produksi.

Namun, Reversi berpeluang mencuri tumpuan jika juri menilai keberanian artistik sebagai faktor utama, manakala Babah mampu mencipta kejutan menerusi kekuatan emosi dan nilai kekeluargaan yang menyentuh jiwa.

Takluk: Lahad Datu pula menyerlah sebagai naskhah patriotik berkualiti tinggi, sementara Soloz: Game of Life menampilkan keberanian tema baharu yang segar dalam landskap sinema moden.

Justeru, filem manakah yang bakal diangkat sebagai Filem Terbaik FFM34? Sama-sama kita saksikan pada 1 November 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.

Dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim, serta disiarkan secara langsung menerusi RTM TV2 dan YouTube FINAS, pada jam 9 malam, festival kali ini bukan sekadar meraikan karya terbaik, tetapi juga menandakan era baharu keberanian sinema Malaysia.



Source link

OR

Scroll to Top