SUZUKA: Bintang muda Itali, Kimi Antonelli terus mencuri perhatian apabila meraih petak utama kedua berturut-turut pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Jepun, sekali gus mengesahkan dominasi awal Mercedes di Litar Suzuka.
Lebih menarik, Mercedes turut menguasai barisan hadapan apabila George Russell akan memulakan perlumbaan di petak kedua selepas ketinggalan 0.298 saat di belakang Antonelli yang mencatat masa 1 minit 28.778 saat.
Pelumba McLaren, Oscar Piastri berada di tempat ketiga diikuti Charles Leclerc dari Ferrari di kedudukan keempat.
Juara bertahan, Lando Norris sekadar kelima selepas berdepan masalah jentera, manakala rakan sepasukan Leclerc, Lewis Hamilton akan bermula dari barisan ketiga.
Antonelli yang sebelum ini menukar petak utama kepada kemenangan sulung di China kini berpeluang mengulangi kejayaan, sekali gus merampas kedudukan pendahulu kejuaraan daripada Russell yang hanya mendahului empat mata.
“Saya sangat gembira dengan sesi ini. Ia berjalan lancar dan saya semakin yakin dalam setiap pusingan,” kata Antonelli.
Sementara itu, Russell mengakui berdepan masalah cengkaman belakang sepanjang sesi kelayakan, namun tetap lega apabila berjaya mengekalkan kedudukan di barisan hadapan.
“Kami membuat beberapa pertukaran selepas sesi latihan dan pada awal kelayakan kami seperti hilang arah, tetapi saya bersyukur masih bermula di petak kedua,” katanya.





