Antony (kiri) membuat debut cemerlang bersama Real Betis pada Isnin lalu. Foto Agensi
ANTONY tidak membuang masa untuk menghantar mesej kepada Manchester United selepas menunjukkan persembahan mengagumkan pada debutnya bersama Real Betis.
Pemain sayap Brazil itu berpindah secara pinjaman ke kelab La Liga selepas musim yang penuh cabaran di Old Trafford, di mana dia bergelut dengan masa permainan dan gagal meyakinkan Ruben Amorim bahawa dia boleh menjadi sebahagian daripada rancangan jurulatih berusia 40 tahun itu.
Dia disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika Betis seri 2-2 menentang Athletic Bilbao pada Isnin dan dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Antony yang menerima hantaran di sebelah kanan membuat gerakan badan yang memperdaya pertahanan Bilbao sebelum melepaskan rembatan kencang yang berjaya ditepis Unai Simon.
Namun, bola muntah dan ia disambar bekas bintang Real Madrid, Isco untuk gol pertama Betis pada minit ke-15 tetapi Bilbao bangkit dua kali untuk mengikat kedudukan 2-2 sehingga wisel penamat.
Antony menerima tepukan gemuruh apabila digantikan pada minit ke-72.
“Gembira dipilih sebagai MVP (pemain terbaik perlawanan). Debut yang penting!” tulis Antony di IG story.
Sementara itu, pengendali Betis, Manuel Pellegrini memuji persembahan Antony sambil menasihati pemain berusia 24 tahun itu supaya bersabar.
Antony mengharungi tempoh sukar di United sejak tiba dari Ajax pada tahun 2022.
Dia meledak 12 gol dan melakukan lima umpanan gol dalam 96 penampilan untuk United.
Betis hanya perlu membayar 84 peratus gaji Antony dan diberi pilihan untuk menandatanganinya secara tetap.
Kontrak Antony bersama United tamat pada 2027.