Antony terlepas hukuman, aksi tanduk pemain lawan cetus kontroversi

Antony terlepas hukuman, aksi tanduk pemain lawan cetus kontroversi


BEKAS pemain sayap Manchester United, Antony bernasib baik apabila terlepas daripada layangan kad merah ketika aksi Liga Europa menentang Utrecht, walaupun dilihat bertindak agresif menanduk pihak lawan.

Pemain antarabangsa Brazil yang kini menyarung jersi Real Betis itu terlibat dalam pertembungan dengan bek kiri lawan, Souffian El Karouani ketika masing-masing sedang mengejar bola.

Dalam kejadian pada minit ke-21 itu, kedudukan masih terikat 0-0. El Karouani dilihat mengawal ketat Antony secara fizikal, namun berbanding hanya menolak lawan, Antony bertindak menanduk pemain pertahanan tersebut.

Permainan diteruskan seketika, namun El Karouani terbaring di atas padang sambil menahan kesakitan akibat tindakan Antony itu.

Pengadil kemudian menghentikan perlawanan untuk memeriksa keadaan pemain Utrecht itu, namun Antony tidak dikenakan sebarang hukuman serta-merta di atas padang.

Malah, semakan video bantuan pengadil (VAR) juga memutuskan insiden tersebut tidak cukup berat untuk dilayangkan kad merah sekali gus menyebabkan pemain Utrecht tertanya-tanya.

Lebih memedihkan buat pasukan pelawat, Antony yang terselamat daripada hukuman kemudiannya menjadi watak penting apabila mencipta bantuan gol untuk gol pembukaan Betis.

Gol tersebut dijaringkan oleh Chucho Hernandez, namun kem Utrecht pastinya berang kerana beranggapan Antony sepatutnya tidak lagi berada di atas padang untuk mencipta peluang berkenaan.

Sekiranya Antony dilayangkan kad merah, ia akan menjadi kali kedua beliau diusir keluar padang dalam tempoh beberapa hari.

Terdahulu, beliau diperintah keluar padang ketika seri 1-1 menentang Girona pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, kad merah ketika menentang Girona itu dianggap agak keras kerana beliau sedang cuba melakukan sepakan gunting di dalam kotak penalti untuk menghantar bola kepada rakan sepasukan. Dia tidak menyedari kehadiran pemain Girona sebelum kakinya terkena muka lawan.

Susulan insiden itu, kad kuningnya ditukar kepada merah selepas semakan VAR, menyebabkan beliau kini berdepan penggantungan tiga perlawanan domestik.

Mungkin nasib menyebelahinya di pentas Eropah kali ini sebagai ‘ganti’ kepada hukuman berat yang diterima pada hujung minggu lalu.

Antony bermain sepenuh masa dalam perlawanan tersebut yang menyaksikan Real Betis menang 2-1.

Abde Ezzalzouli menjaringkan gol kedua Betis sebelum Miguel Rodriguez merapatkan jurang untuk Utrecht, namun tindakan Antony yang kekal beraksi sehingga wisel penamat terus menjadi perbincangan hangat.

Ringkasan AI

  • Bekas pemain sayap Manchester United, Antony, terlepas daripada kad merah ketika bertanding di Liga Europa menentang Utrecht meskipun agresif menanduk lawan
  • Antony kini bermain untuk Real Betis dan terlibat dalam pertembungan dengan pemain Utrecht, Souffian El Karouani
  • Tidak dikenakan hukuman oleh pengadil walaupun selepas semakan VAR terhadap tindakan agresif tersebut
  • Antony mencipta bantuan gol untuk gol pembukaan Betis dalam perlawanan yang sama
  • Dilayangkan kad merah dalam pertandingan sebelumnya menentang Girona, menjadikannya berpotensi mendapat penggantungan tiga perlawanan domestik



Source link

OR

Scroll to Top