Shah Alam: Laksamana Muda (B) Datuk Anuar Alias yang menjadi inspirasi kepada pembikinan filem terkenal ‘PASKAL:The Movie’, dipilih Tokoh Kemerdekaan Negeri Selangor 2025 sebagai menghargai jasa dan baktinya dalam angkatan pertahanan negara menerusi misi antarabangsa.
Anugerah disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, hari ini.
Anuar yang juga bekas Panglima Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika ditemui meluahkan rasa syukur dan menyifatkan anugerah itu sebagai penghormatan yang bukan sahaja kepada dirinya, malah seluruh anggota pasukan keselamatan negara.
Anak kelahiran Puchong berusia 63 tahun itu turut berkongsi beberapa peristiwa penting semasa bertugas sebagai pegawai pemerhati dan anggota tentera di Angola dalam dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), antaranya menyelamatkan hampir 20 kanak-kanak dari zon bahaya selain terlibat dengan beberapa pertempuran.
“Antara pengalaman yang sukar dilupakan termasuk ketika saya bertugas di Angola ialah, kereta perisai PBB terkena periuk api dan saya membantu menyelamatkan beberapa anggota PBB dari Namibia keluar dari zon bahaya.
“Selain itu, saya juga terlibat dalam satu kejadian yang dilakonkan dalam filem PASKAL, iaitu lori awam di Angola diserang hendap oleh pemberontak dan kebetulan saya berada di belakang pemandu lori dan beberapa orang awam ditembak.
“Saya yang berada di situ maju ke depan dan dengan kehadiran saya, penyerang lari dan berjaya menyelamatkan beberapa nyawa,” katanya kepada Bernama.
Anuar yang berkhidmat hampir 41 tahun dalam TLDM turut menitipkan nasihat kepada pegawai dan anggota generasi baharu supaya bertugas dengan penuh integriti, setia dan ikhlas demi negara.
“Sepanjang 41 tahun, saya berkhidmat dengan jujur dan ikhlas. Alhamdulillah, bila bersara, saya puas hati kerana sudah curahkan segala tenaga dan bakti kepada negara.
“Saya harap, generasi pewaris yang masih berkhidmat teruskan perjuangan tidak kira tentera atau polis, berbanggalah dan ingatlah kemerdekaan ini tidak datang dengan murah, ia datang daripada pengorbanan kita dan juga semangat seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Anuar menyertai TLDM pada 1 Februari 1981 di Kem Segenting, Negeri Sembilan dan memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Navigasi di KD Baung sebelum berkhidmat di beberapa kapal lain termasuk KD Renchong, KD Sri Negeri Sembilan dan KD Raja Jarom.
Beliau kemudian menyertai PASKAL dan terlibat dalam operasi penting seperti misi pengunduran pasukan PBB UNISOM II di Somalia melalui KD SRI Indera Sakti dan KD Mahawangsa selain melaksanakan tugas berisiko tinggi seperti ‘anti-sniping’, ‘close escort’ dan ‘amphibious withdrawal’.
Pada 1998, beliau terpilih menyertai Misi Pengaman PBB di Angola sebagai Pegawai Pemerhati dan ditempatkan di kawasan bergolak di Team Site Bailundo, iaitu wilayah pemberontak di Angola Tengah dan memainkan peranan besar ketika serangan hendap ke atas sebuah trak awam di antara Huambo dan Alto Hama.
Atas tindakan berani, profesionalisme tinggi serta keupayaan memimpin dalam situasi genting di medan peperangan, beliau menerima Pingat Gagah Berani (PGB) pada 2 Jun 2000.
Pingat itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sekali gus menjadikan beliau wakil tunggal TLDM yang menerima PGB, iaitu antara pengiktirafan tertinggi negara terhadap keberanian luar biasa seorang perwira.
© New Straits Times Press (M) Bhd