May 19, 2024

Anwar bersyukur Nadir dan keluarga bersatu semula


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesyukuran nya kerana Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, dapat bersatu semula dengan keluarganya yang berjaya dibawa keluar dari Gaza.

Anwar dalam hantarannya di Facebook berkata beliau turut menyatakan penghargaannya kepada Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi dan kerajaan Mesir atas kerjasama yang diberikan, dalam membawa keluarga Muhammad Nadir Al-Nuri keluar dari kawasan bergolak itu.

Terdahulu Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatannya berkata Anwar merupakan individu penting, yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza, saat wilayah Palestin itu diserang tentera Israel.

Perkara itu dikongsikan oleh Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatan ‘183 Hari Yang Panjang’ menerusi hantaran di akaun Facebook serta Instragram beliau, malam ini.

Muhammad Nadir Al-Nuri berkata sehari sebelum Aidilfitri, beliau dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri Farhan Fauzi, yang memintanya datang ke satu lokasi khas selain membenarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby, untuk turut sama ke lokasi itu.

“Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie.

“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan,” kata Muhammad Nadir Al-Nuri.

Beliau menyifatkan misi membawa keluarganya dari Gaza itu sebagai ‘misi gila’, kerana bukan mudah untuk membawa keluar keluarganya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus di Gaza, selain ketegangan di sempadan yang berlanjutan.

“Namun secara senyap pemimpin negara (Anwar) menghubungi pihak sana. Ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain,” katanya.

Muhammad Nadir Al-Nuri juga berkata proses misi berkenaan berjalan cepat, teratur dan lancar, walaupun dipenuhi dengan 1,001 cabaran tersirat.

“Kisahnya akan keluar satu demi satu, tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan. Tetapi watak utama dalam ‘misi gila’ ini ialah Perdana Menteri kita Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri!,” katanya yang turut berharap agar rakyat Malaysia terus bersolidariti membela nasib rakyat Palestin.

“Untuk PMX (Anwar), PMO (Pejabat Perdana Menteri), (Dr) Ahmad Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini sama ada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga.

“Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua, amin,” luahnya mengakhiri catatannya.

Semalam, beliau dilapor berkata bahawa situasi getir dihadapi anaknya yang mengalami komplikasi pernafasan dan terpaksa dikejarkan beberapa kali ke hospital di tengah malam, mendorong beliau untuk mengambil keputusan membawa keluarganya keluar dari Gaza.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top