CYBERJAYA – Tiada isu untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri walaupun tempoh jawatan beliau sebagai Presiden PKR tamat selepas tiga penggal.
Ketua Penerangan PKR, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, ini kerana Anwar masih mempunyai pelbagai jawatan lain yang membolehkan beliau kekal sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Antara jawatan yang dipegang Anwar adalah Pengerusi Pakatan Harapan sejak 2020.
“Tidak berlaku sebarang isu kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim masih memegang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan dan Pengerusi Majlis Rundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, jadi dari segi itu tidak berlaku sebarang konflik.
“PKR memang mengamalkan had tiga penggal bagi jawatan Presiden, tetapi pada waktu ini tidak ada isu berbangkit.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh berkhidmat sebagai Perdana Menteri pada ketika ini malah untuk penggal seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Kurier Negara 2024 di Cyberjaya, hari ini.
Khamis lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, Anwar akan terus memegang jawatan presiden PKR pada pemilihan parti yang dijangka berlangsung tahun depan.
Menurut beliau, perlembagaan parti hanya membenarkan setiap presiden memegang jawatan selama tiga penggal.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, pemilihan yang dipercepatkan akan membuka ruang kerjasama antara tenaga muda dengan pemimpin lama untuk berganding bahu menguruskan parti dengan lebih efektif.
Anwar memberitahu, keputusan tidak menangguhkan pemilihan PKR itu diambil dalam mesyuarat Biro Politik parti itu. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL