KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini.
Presiden PKR itu berkata, pembangkang harus mengikut undang-undang dan bukan hanya bermain sentimen atau bersorak untuk menggesanya “turun” daripada jawatan itu.
“Ada 30 orang suruh Anwar turun (daripada jawatan Perdana Menteri) … dia ingat negara ini tiada peraturan, tak ikut hukum, tiada sistem (Parlimen)?
“Kalau nak suruh turun, sila bawa usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini … kalau usul itu lambat sekalipun, saya luluskan,” katanya semasa berucap dalam Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat di sini malam ini.
Perhimpunan yang bertemakan “Dari Reformasi ke Malaysia MADANI” di Axiata Arena, Bukit Jalil itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil serta hampir 10,000 hadirin. – BERNAMA