KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beberapa isu utama menjadi tumpuan dalam pertemuan empat mata dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, termasuk tarif dan krisis kemanusiaan di Gaza.
Pertemuan yang disifatkan sebagai mesra dan terbuka itu memperlihatkan kedua-dua pemimpin berkongsi pandangan secara terbuka mengenai arah hubungan dua hala Malaysia–AS dan perkembangan geopolitik global.
Menyentuh isu tarif, Anwar menyatakan kebimbangan mengenai perkara itu dan berkata kadar tersebut masih tinggi.
“Saya nyatakan dengan jelas yang kadar 19 peratus masih tinggi bagi Malaysia.
“Namun, Trump memaklumkan AS mengenakan tarif sifar terhadap eksport utama Malaysia melibatkan komponen semikonduktor,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Kepengerusian ASEAN, di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau tidak memuji atau berterima kasih secara berlebihan, sebaliknya menegaskan Malaysia tetap konsisten dengan pendirian berdikari dalam menentukan hala tuju ekonomi dan pelaburannya.
“Saya cuma nyatakan penghargaan atas langkah itu, tetapi Malaysia kekal bebas dan berprinsip. Kita akan terus memperkukuh industri semikonduktor sebagai satu daripada tunjang ekonomi negara,” katanya.
Anwar berkata, beliau turut membincangkan isu Gaza, sambil menjelaskan mengenai pertemuannya dengan beberapa pemimpin Hamas di Doha.
“Saya beritahu Trump, saya memang kenal satu dua orang pemimpin Hamas dan saya memilih untuk bertemu mereka ketika berada di Doha. Saya desak mereka supaya menyokong inisiatif damai yang digerakkan oleh negara-negara Arab jiran,” katanya.
Katanya, pertemuan itu dilakukan dengan niat untuk menggalakkan proses perdamaian dan keamanan yang lebih menyeluruh, bukan bersifat politik atau berpihak.
Anwar berkata, gencatan senjata semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya penyelesaian jangka panjang mesti berpaksikan keadilan dan hak rakyat Palestin.
“Saya katakan kepadanya, kalau kita bercakap tentang keamanan yang berkekalan, ia mesti komprehensif, adil dan menyeluruh. Beliau jawab, ‘ini baru fasa pertama, kami sedang usahakan’, dan saya balas, ia mesti berjaya, kerana dunia tidak boleh lagi menanggung penderitaan ini,” katanya.
Perdana Menteri turut menyifatkan pertemuan itu sebagai peluang penting untuk menyampaikan suara Malaysia di peringkat tertinggi, khususnya dalam isu kemanusiaan dan keamanan global.
“Sekiranya Trump tidak hadir ke Malaysia, tentu tidak akan ada peluang seperti ini. Tetapi sekurang-kurangnya kini ada suara yang beliau perlu dengar,” katanya.-UTUSAN





