PADANG RENGAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak peduli kecaman dan sindiran mengenai dirinya tidak mengambil gaji kerana tidak mahu membuang masa untuk mentadbir negara.
Ini termasuklah penggunaan istilah atau perkataan seperti ketimbang yang sedang menjadi bahan sindiran beberapa pihak selepas pembentangan Belanjawan 2024 pada 18 Oktober lalu.
“Di Parlimen semasa Belanjawan 2025, saya tidak kecam dan maki orang. Saya pakai songkok senget sikit pun dia marah, pakai baju Melayu dan capal pun dia kata tak kena. Kemudian saya guna istilah baharu macam ketimbang pun dia tidak faham.
“Kita menjadi pemimpin, kita tingkatkan penguasaan bahasa. Dulu tiada perkataan alaf, saya gunakan. Dulu tiada perkataan mampan dan telus saya perkenalkan. Tidak popular perkataan kesenjangan, kita popularkan. Kita didik bahasa anak-anak supaya menggunakan bahasa (Melayu),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Padang Rengas di Arena Square Pekan Isnin di sini hari ini yang dihadiri lebih 2,000 pengunjung.
Beliau berkata, sebagai Perdana Menteri, dirinya mahu memberi tumpuan penuh kepada pembangunan negara serta mengurangkan kemiskinan rakyat.
Anwar juga berkata, tiada masalah untuk dirinya tidak mengambil gaji Perdana Menteri kerana beliau bukan tergolong dalam kategori miskin, dan masih menikmati elaun ahli parlimen serta kemudahan lain untuknya berkhidmat sebagai pemimpin negara.
“Sebelum ini ada pemimpin Menteri Kewangan yang harta berbilion-bilion, gaji ambil juga. Saya tidak ambil sebab apa, sebab saya rasa sudah berhempas pulas berjuang, masuk keluar penjara, kena terajang, kena maki hamun, fitnah dan diaibkan berpuluh tahun.
“Sekarang Allah takdirkan saya menjadi Perdana Menteri, maka buatlah sebaiknya, jangan fikir soal diri, tetapi fikir soal rakyat. Ini yang saya hendak buat,” katanya.
Jelasnya, kehadiran beliau ke Padang Rengas sendiri adalah untuk melihat kehidupan rakyat di luar bandar dan mahu golongan tersebut tidak terlepas pandang oleh pentadbirannya.
Kehadirannya juga menyaksikan beberapa geran diserahkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk membiayai beberapa projek setempat.- UTUSAN