Kaherah: Mesir mengemukakan cadangan baharu bagi memulihkan gencatan senjata di Gaza, kata sumber keselamatan semalam, ketika serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 65 nyawa dalam tempoh 24 jam.
Cadangan itu dibuat minggu lalu susulan peningkatan keganasan selepas Israel menyambung semula operasi darat dan udara terhadap Hamas pada 18 Mac lalu, menamatkan tempoh dua bulan yang agak tenang selepas 15 bulan perang.
Pegawai kesihatan Gaza melaporkan hampir 700 penduduk Palestin terbunuh sejak serangan terbaru Israel, termasuk sekurang-kurangnya 400 wanita dan kanak-kanak.
Dua wartawan tempatan, Mohammad Mansour dan Hussam Shabat, turut terkorban dalam serangan semalam, menurut pasukan perubatan.
Kesatuan Wartawan Palestin mendakwa sekurang-kurangnya 206 wartawan terbunuh akibat serangan Israel sejak konflik meletus pada Oktober tahun lalu. Israel masih belum memberi sebarang kenyataan mengenai perkara itu.
Hamas pula memaklumkan beberapa pegawai kanan politik dan keselamatannya turut terbunuh.
Menurut sumber keselamatan, cadangan Mesir mengusulkan supaya Hamas membebaskan lima tebusan Israel setiap minggu, untuk Israel melaksanakan fasa kedua gencatan senjata selepas minggu pertama.
Ketika ini, Hamas masih menahan 59 tebusan, dengan 24 daripadanya dipercayai masih hidup, daripada lebih 250 orang yang diculik dalam serangan rentas sempadan pada 7 Oktober tahun lalu. Selebihnya dibebaskan atau mayat mereka diserahkan dalam pertukaran yang dirundingkan sebelum ini.
Sumber keselamatan mendakwa kedua-dua Amerika Syarikat (AS) dan Hamas bersetuju dengan cadangan itu, tetapi Israel masih belum memberikan maklum balas.
Seorang pegawai Hamas enggan mengesahkan cadangan berkenaan tetapi memaklumkan kepada Reuters bahawa beberapa cadangan sedang dibincangkan dengan pihak perantara bagi merapatkan jurang dan menyambung semula rundingan ke arah mencapai persetujuan yang boleh membuka laluan kepada fasa kedua perjanjian.
Sumber turut memaklumkan cadangan Mesir itu merangkumi garis masa bagi pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza dengan jaminan daripada AS, sebagai pertukaran kepada pembebasan baki tebusan.
Hamas menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui pada Januari tetapi menyatakan kesediaan untuk berunding semula bagi mencapai persetujuan baharu.
Israel pula mempertahankan tindakan ketenteraannya dengan alasan mahu memaksa Hamas membebaskan tebusan yang masih ditahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd