Apa jenayah terancang yang dilakukan pemimpin, pengikut GISBH? – Takiyuddin

Apa jenayah terancang yang dilakukan pemimpin, pengikut GISBH? – Takiyuddin


KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin  Hassan menggesa kerajaan menjelaskan jenayah terancang yang dilakukan oleh pemimpin dan pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang didakwa di mahkamah semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dalam masa sama mempertikaikan penahanan individu-individu yang terlibat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

“Apakah kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh mereka kerana dakwaan jenayah terancang? Apa tuduhannya? Apa jenayah terancang mereka lakukan?,” Soalnya Ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Semalam Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan itu, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali, isterinya Datin Azura Md Yusof dan 20 lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Nasiruddin pada 16 Oktober lalu merupakan antara 16 individu yang ditahan semula di bawah SOSMA.

Sementara itu, Takiyuddin memuji tindakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (DAP) yang konsisten memperjuangkan penentangan terhadap akta tersebut.

Katanya, Perikatan Nasional (PN) juga menentang penyalahgunaan akta tersebut termasuk Akta Hasutan 1948 yang disifatkannya disalahguna terhadap pemimpin pembangkang.

“Semalam Jelutong kata tidak bersetuju dengan SOSMA. Hanya Jelutong sahaja yang berani perjuangkan. Tahniah tapi apa tindakan Jelutong untuk menentang SOSMA yang dianggap undang-undang yang zalim.

“Bagi kami, PN kami terima SOSMA tapi yang kami tidak terima penyalahgunaan SOSMA termasuk terhadap GISBH,” tegasnya.

Dalam pada itu, Rayer mengumumkan menawarkan khidmat guaman percuma kepada ahli kumpulan GISBH yang ditahan di bawah SOSMA.

“Saya sebagai backbencher menentang SOSMA kalau boleh sekarang saya akan menawarkan perkhidmatan saya untuk membela mereka (pengikut GISBH) ,” katanya ketika mencelah perbahasan Takiyuddin. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top