KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung pertikaian antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) semalam mungkin menutup satu episod dalam arena undang-undang sukan antarabangsa.
Namun, kesannya terhadap bola sepak negara dijangka berpanjangan apabila keputusan tribunal sukan tertinggi dunia itu mencetuskan persoalan lebih besar mengenai ketelusan proses naturalisasi serta mekanisme semakan dokumen yang digunakan dalam usaha memperkukuh skuad kebangsaan.
CAS membenarkan sebahagian rayuan tujuh pemain yang dikenakan tindakan disiplin oleh FIFA berhubung pemalsuan dokumen kelayakan bermain, dengan penggantungan 12 bulan hanya dikenakan terhadap perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Pada masa sama, CAS menolak rayuan FAM untuk mengurangkan hukuman sekali gus mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan oleh FIFA.
Keputusan itu bukan sekadar menamatkan pertikaian perundangan antara badan induk bola sepak negara dan FIFA, malah meninggalkan beberapa persoalan penting mengenai bagaimana proses naturalisasi dan pengesahan dokumen pemain dilaksanakan sebelum ini.
Kes ini secara langsung mencetuskan perdebatan mengenai aspek tadbir urus dalam pengurusan bola sepak negara.
Dalam keputusan terdahulu, FIFA mendapati dokumen yang digunakan dalam proses naturalisasi dan kelayakan pemain terbabit dipalsukan, selain menyatakan bahawa pemain berkenaan tidak mempunyai kaitan sebenar dengan Malaysia – satu syarat asas di bawah peraturan kelayakan pemain antarabangsa.
Dalam rayuan kepada CAS, FAM turut mengakui wujud “kelemahan institusi” dalam pengendalian proses berkaitan dokumen pemain.
Walaupun tribunal itu mengekalkan hukuman terhadap pemain dalam bentuk penggantungan daripada perlawanan rasmi, keputusan CAS untuk menolak rayuan FAM sekali gus memperlihatkan bahawa badan induk itu tetap memikul tanggungjawab terhadap pelanggaran yang berlaku.
Keadaan tersebut menjadikan usaha memulihkan keyakinan terhadap pentadbiran FAM, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa, sebagai cabaran utama selepas keputusan itu.
Masa depan pendekatan naturalisasi
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia semakin aktif menggunakan pemain naturalisasi dan pemain warisan sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh skuad kebangsaan.
Pendekatan itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam bola sepak moden, dengan beberapa negara lain turut mengadaptasi strategi sama bagi meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
Namun, kontroversi melibatkan tujuh pemain dalam kes ini berpotensi mencetuskan penilaian semula terhadap bagaimana pemain yang berkelayakan dikenal pasti, disaring dan disahkan sebelum dibenarkan mewakili negara.
Sudah pasti, proses semakan dokumen, latar belakang pemain serta pengesahan aspek perundangan mungkin perlu diperketatkan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan kelayakan yang ditetapkan FIFA.
Implikasi kepada skuad kebangsaan
Di bawah keputusan CAS, tujuh pemain terbabit masih digantung daripada beraksi dalam perlawanan rasmi selama 12 bulan, walaupun mereka dibenarkan meneruskan latihan bersama kelab masing-masing.
Kes ini turut berpotensi mempengaruhi pendekatan Malaysia terhadap pengambilan pemain kelahiran luar negara pada masa hadapan.
Dengan beberapa kempen kelayakan serta kejohanan antarabangsa bakal berlangsung dalam tempoh terdekat, strategi pembangunan pemain tempatan dan pemain warisan dijangka kembali menjadi fokus perbincangan dalam landskap bola sepak negara.
Selain itu, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) turut merujuk keputusan CAS kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC untuk tindakan dan pertimbangan lanjut tatkala timbul dakwaan bahawa Malaysia berkemungkinan berdepan pemotongan mata dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
Persoalan proses kerakyatan
Di luar konteks bola sepak, kes ini turut menimbulkan persoalan mengenai proses pemberian kerakyatan kepada pemain yang ingin mewakili negara.
Di Malaysia, kewarganegaraan bagi individu kelahiran luar negara lazimnya diperoleh melalui naturalisasi atau pemberian khas oleh kerajaan Persekutuan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Pendedahan FIFA bahawa dokumen kelayakan pemain telah dipalsukan secara tidak langsung mencetuskan persoalan mengenai bagaimana dokumen tersebut diproses dan disahkan sebelum pemain terbabit diberikan kewarganegaraan serta didaftarkan untuk mewakili negara.
Walaupun keputusan CAS memfokuskan kepada pelanggaran peraturan disiplin FIFA, kes itu turut menonjolkan kepentingan sistem semakan yang telus dan berintegriti dalam sebarang proses pemberian kerakyatan.
Titik perubahan
Dalam bola sepak antarabangsa, kes berkaitan pemalsuan dokumen kelayakan pemain dianggap serius kerana ia menyentuh soal integriti pertandingan serta legitimasi penyertaan pasukan kebangsaan.
Peraturan FIFA menetapkan bahawa seseorang pemain perlu mempunyai hubungan jelas dengan negara yang diwakilinya, sama ada melalui kelahiran, keturunan atau tempoh pemastautinan tertentu.
Sehubungan itu, keputusan CAS bukan sahaja menutup satu pertikaian undang-undang yang panjang, malah berpotensi menjadi titik perubahan kepada cara Malaysia menguruskan proses pemilihan pemain serta tadbir urus bola sepak negara.
Bagi bola sepak Malaysia, kes ini mungkin berakhir di Mahkamah Timbang Tara Sukan, namun persoalan yang timbul terhadap integriti sistem dan kepercayaan penyokong dijangka terus menghantui landskap bola sepak negara untuk tempoh yang lama.
Bagi penganalisis bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, setiap hukuman terhadap sesuatu kesalahan, sama ada bersifat sivil atau jenayah seharusnya dilihat sebagai satu proses kesedaran dan keinsafan untuk memperbaiki keadaan.
“Kita serahkan kepada kerajaan untuk turut melihat keputusan CAS ini dalam konteks undang-undang negara.
“Apa pun kita perlu lupakan segala keegoan diri, insaflah dan marilah kita bersama-sama kembali membangunkan rumah (bola sepak negara) yang hampir runtuh ini. Marilah kita perbetulkan haluan ‘kapal’ kita yang telah tersesat ke dalam ombak lautan yang ganas,” katanya. – Bernama
Ringkasan AI
- Keputusan CAS mengekalkan denda RM1.8 juta oleh FIFA ke atas FAM dan menolak rayuan untuk mengurangkan hukuman
- CAS membenarkan sebahagian rayuan pemain untuk hanya digantung dalam perlawanan rasmi selama 12 bulan
- Kes ini menimbulkan persoalan mengenai ketelusan proses naturalisasi dan mekanisme semakan dokumen pemain
- Kontroversi ini mendorong penilaian semula terhadap pemilihan dan pengesahan kelayakan pemain naturalisasi
- Keputusan CAS mencetuskan perdebatan tentang tadbir urus dan integriti sistem dalam pengurusan bola sepak Malaysia






