Kalau korang cari tempat untuk santai sambil teroka budaya Orang Asli, Balai Budaya Kampung Orang Asli (KOA) yang terletak di Sepang ini memang spot terbaik!
Balai budaya ni sekarang dah lain macam vibe dia tau korang. Ruang yang dinaik taraf bukan saja nampak lebih kemas dan selesa, tapi berjaya bagi nafas baharu kepada tradisi dan identiti komuniti Orang Asli setempat!
Daripada seni persembahan sampailah ke hasil kraftangan, semuanya ada ruang untuk ditonjolkan dengan lebih tersusun dan bermakna.
Masyarakat Kampung Lebih Aktif Menghidupkan Tradisi
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Manan anak Ujang, naik taraf balai budaya telah mengubah fungsi ruang ini secara menyeluruh.
Perkampungan Orang Asli kini makin meriah dengan kewujudan Balai Budaya lengkap dengan kantin dan kemudahan NADI sebagai sebahagian daripada inisiatif Projek Kampung Angkat MADANI (KAM).

Beliau berkongsi, “Dengan adanya balai ni, kawasan kita bukan sahaja lebih selesa, malah boleh tarik pelancong datang. Penduduk pun boleh jana pendapatan sambil pelancongan berjalan lancar.”
Selain itu, aktiviti menarik seperti tarian Sewang, demonstrasi anyaman, pembuatan baju kulit kayu terap, gasing dan menyumpit turut diperkenalkan untuk pengunjung.
Menurut Manan, penambahbaikan ini bukan sekadar cantikkan perkampungan, tetapi juga membuka peluang untuk memperkenalkan tradisi lama Orang Asli kepada dunia luar.
“Kita nak generasi muda dan pelancong luar tahu tentang tarian Sewang dan budaya Temuan. Dengan cara ni, warisan kita terus hidup,” katanya lagi.
Sebelum ini balai budaya jarang digunakan. Sekarang hampir setiap minggu ada aktiviti – sama ada persembahan budaya, kegunaan orang kampung atau pelawat luar,” katanya.
Beliau menambah, kemudahan yang lebih selesa dan teratur memberi keyakinan kepada komuniti untuk kembali menggunakan ruang tersebut sebagai pusat pertemuan dan aktiviti bersama.
Kini, perkampungan lebih teratur, cantik, dan menjadi destinasi menarik untuk pelancong tempatan dan luar.
Tarikan Pelancongan Budaya yang Semakin Mendapat Perhatian
Secara keseluruhan, Balai Budaya Kampung Orang Asli (KOA) Kelinsing yang dinaik taraf ni dah bukan sekadar tempat acara rasmi. Ia kini jadi pusat aktiviti komuniti yang hidup, sambil muncul sebagai tarikan pelancongan budaya yang semakin mendapat perhatian.

Ruang Budaya Baharu, Tradisi Lama Hidup Kembali
Kalau korang nak tahu, pembaharuan yang masuk ke KOA Kelinsing membuka lembaran baharu bagi budaya dan identiti komuniti Orang Asli.

Kios kraftangan diwujudkan dan kemudahan sokongan diperkemas – mewujudkan ruang yang lebih teratur dan bermakna untuk seni, adat, dan hasil tangan diwarisi.
Dengan adanya ruang budaya yang lebih selesa dan berfungsi, masyarakat kampung kini mendapat nafas baharu untuk menghidupkan kembali tradisi, memperkenalkan warisan mereka kepada generasi muda serta menarik minat luar terhadap seni dan cerita lama dalam komuniti.
Mizan Gemo, salah seorang penduduk di sini, berkongsi bahawa aktiviti yang sering dilakukan di perkampungan ini termasuk menganyam dan pelbagai aktiviti tradisional lain.
Menurutnya, gasing adalah salah satu adat yang diamalkan oleh kaum Orang Asli di sini. Sebelum padi mengeluarkan buah, mereka akan bermain gasing di balai raya – jika gasing “pangkah”, padi boleh berisi.

Dulu, balai kebudayaan dibina menggunakan atap nipah, kemudian diganti dengan zink, dan yang terbaru barulah mereka mendapat bangunan balai kebudayaan yang lebih selesa.
Mizan bersyukur, “Kebudayaan ini kita utamakan supaya ada pelapis pada masa hadapan. Kami akan berkumpul dan berlatih bersama-sama.
Tradisi Tak Lagi Sekadar Cerita Lama
Balai budaya kini menjadi pentas utama untuk persembahan sewang, muzik tradisional, dan seni Orang Asli, memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali budaya masyarakat setempat dengan lebih dekat.

Janudin Kemang, selaku Biro Kebudayaan, berkongsi bahawa setiap bulan mereka mengadakan latihan untuk anak-anak kampung.
“Ada perubahan sikit bila dah ada tempat selesa untuk buat aktiviti kebudayaan. Dulu bangunan rendah je, sekarang kita dah ada pentas.
“Kerjasama juga kena diterapkan macam sebelum ni – bila buat persembahan, pentas kebudayaan kena ramai-ramai hias. Tapi sekarang lebih senang sebab ramai yang turun padang,” jelasnya.

Beliau turut menambah, “Dulu nak kata tak selesa pun, cuma bangunan rendah sikit. Tapi sekarang kampung kami dah diangkat, balai budaya lebih cantik dan selesa.”
Sebagai seorang penggiat seni sewang tempatan, balai budaya yang dinaik taraf membuka ruang baharu untuk menghidupkan semula tradisi.
“Bila ada pentas yang elok, bunyi pun sedap, anak-anak muda pun lebih berminat nak belajar sewang dan muzik tradisional,” katanya.
Tambah beliau, generasi muda kini bukan sahaja menonton, malah mula terlibat secara aktif dalam latihan dan persembahan.
Bagi anak muda berusia 15 tahun, Lili Aina anak kepada Riyadika ini pula berkata, dia menari sejak sekolah tadika dan belajar tarian Sewang. Menurutnya, sebelum ini susah nak tukar baju semasa persembahan, tapi sekarang lebih mudah.
“Kalau hujan pun senang nak berlatih, tak risau nak balik sebab ada balai di sini. Mudah untuk kami berlatih,” katanya.

Lili Aina turut berkongsi banyak kelebihan aktiviti ini. “Mungkin orang luar belum tahu lagi yang kita di Malaysia ada ramai Orang Asli. Bila mereka sampai kampung sini, mereka akan tahu kita wujud.
“Jadi bila dorang datang, kami boleh tunjukkan istiadat kaum Orang Asli, terutama tarian paling popular iaitu tarian Sewang. Tarian ni tak susah pun, semua orang boleh belajar dan menari bersama,” jelasnya sambil mengukir senyuman.
Unik & Bermakna: Pakaian Tradisional Sewang Orang Asli
Untuk pengetahuan korang, Penari Sewang Orang Asli biasanya tampil dengan pakaian unik yang diperbuat daripada kulit kayu pokok terap.
Kulit kayu ini dikupas dengan cara tradisional tanpa menebang pokok, kemudian direndam dan dipukul sehingga nipis serta lembut macam kain.
Lepas dijemur kering, barulah ia dibentuk jadi pakaian untuk dipakai semasa tarian. Ringkas tapi penuh makna, pakaian ini melambangkan hubungan rapat masyarakat Orang Asli dengan alam semula jadi yang masih dipelihara hingga hari ini.

Menurut Max Winston, salah seorang penduduk di sini, jika nak siapkan sehelai baju, ia mengambil masa antara 3 hingga 6 bulan, dan semua jahitan dilakukan secara manual.

“Baju ini diperbuat daripada kulit kayu yang direndam selama tiga hari sebelum diambil dan dijemur sehingga kering. Baju tradisional ini antara yang menjadi tarikan utama pelancong.” jelasnya.
Kraftangan Jadi Sumber Rezeki
Dalam masa sama, kios kraftangan turut disediakan untuk komuniti menjana pendapatan. Terdapat dua kios khusus untuk kraftangan dan satu kios jualan lain, menjual produk tradisional seperti rotan, buluh, dan mengkuang, termasuk demonstrasi seni kepada pelancong yang datang.

Naik Taraf Kecil, Kesan Besar Untuk Kampung
Kemudahan asas seperti tandas, kantin, dan laluan selamat turut dinaik taraf, menjadikan kawasan ini lebih selesa dan sesuai untuk aktiviti kebudayaan mahupun kegunaan harian penduduk kampung.
NADI: Pusat Sebaran Maklumat
NADI menjadi nadi info kampung, memastikan berita, ilmu, dan budaya sampai terus kepada penduduk serta menjadikan komuniti lebih dekat dengan dunia luar.

Angka Pengunjung Makin Memberangsangkan
Dari segi sambutan, angka yang direkodkan memang boleh tahan. Sepanjang tahun 2025, jumlah pengunjung meningkat sehingga lima kali ganda, walaupun balai budaya ini baru dirasmikan awal tahun lalu.
Bilangan pelancong yang mengunjungi balai kebudayaan ini boleh mencecah sehingga 100 orang sehari. Selain pelancong, lebih 11 aktiviti komuniti direkodkan berlangsung, termasuk penggambaran filem dan kenduri kahwin.
Belia Kampung Kembali Mengisi Ruang
Golongan belia khususnya kerap menggunakan ruang ini untuk bermain badminton pada waktu malam, dengan anggaran penggunaan sekitar empat hingga lima kali seminggu.
Lebih Selamat, Lebih Terjaga
Dari sudut keselamatan dan kebersihan pula, penambahbaikan yang dibuat jelas memberi kesan. Kawasan ini kini lengkap berpagar, dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) yang tinggal berhampiran akan mengunci pintu pagar pada waktu malam.
Secara keseluruhan, persepsi keselamatan dan kebersihan dalam kalangan penduduk meningkat lebih 80% selepas infrastruktur baharu disiapkan.
Lebih Dari Sekadar Bangunan
Pendek kata, dengan sokongan pembinaan dan perancangan oleh KAM, usaha ini bukan sekadar memelihara budaya, malah turut menyokong ekonomi serta menghidupkan suasana komuniti setempat.
Pemilihan perkampungan ini sebagai Kampung Angkat MADANI bukan sahaja mengiktiraf usaha mereka dalam memelihara budaya dan tradisi Orang Asli, malah membuka peluang lebih luas untuk pelancongan, pendidikan warisan, dan pembangunan komuniti.
Dengan balai budaya yang lengkap dan aktiviti tradisional yang aktif, kampung ini kini menjadi contoh bagaimana warisan lama boleh terus hidup sambil memberi manfaat kepada generasi muda dan pengunjung luar.






