Pertahanan Newcastle United, Fabian Schar melompat melepasi halangan Haaland semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris, Manchester City menentang Newcastle United di Stadium Etihad. Foto: AFP
PEP Guardiola mengakui bimbang kecederaan penyerang utamanya, Erling Haaland selepas pemain Norway itu terpaksa dikeluarkan ketika Manchester City menang 4-0 ke atas Newcastle United di Stadium Etihad.
Haaland digantikan Matheus Nunes minit ke-88, mengalami kecederaan lutut, kemungkinan terlepas perlawanan kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada Rabu.
Sebagai rekod, Haaland dinamakan kapten untuk lawatan The Magpies, dan telah menjaringkan 27 gol dalam semua pertandingan musim ini.
“Apabila dia jatuh, semua orang takut. Tetapi dia keluar sambil tersenyum dan doktor tidak memberitahu saya berita buruk. Jadi harap kecederaannya tidak teruk.
“Saya belum bercakap dengan doktor. Mungkin ia tidak seteruk yang boleh berlaku,” katanya.
Guardiola turut menyatakan tindakannya memberikan lilitan kapten kepada pemain Norway itu, dengan menyifatkan kontrak baharu 10 tahun penyerang itu sebagai satu sebab utama.
Tambahnya, perpindahan Kyle Walker ke AC Milan dan Kevin De Bruyne di bangku simpanan menjadi faktor tambahan.
“Apabila Kyle pergi, Kevin menjadi (kapten) pertama, kemudian saya mencalonkan Erling. Ia bagus buat kali pertama dalam Liga Perdana, ia hanya satu permulaan, tetapi ia adalah satu isyarat,” katanya.