APABILA diumumkan bahawa tempoh menunggu haji kini mencecah lebih 100 tahun, seluruh negara terdiam seketika.
Angka itu bukan sekadar statistik tetapi ia seperti mengetuk dada umat Islam Malaysia, khususnya mereka yang baru mendaftar.
Bagi sesetengah orang, tempoh itu lebih lama daripada usia mereka sendiri. Dan tiba-tiba, impian melihat Kaabah, mencium hajarulaswad atau melontar jamrah bukan lagi sesuatu yang pasti. Ia berubah menjadi rindu yang tak berjawab sekurang-kurangnya dalam kehidupan dunia.
Namun di sebalik gundah itu, Islam menghadirkan satu pegangan yang luar biasa iaitu pahala tidak dinilai hanya melalui kemampuan melakukan amal, tetapi juga melalui keikhlasan niat.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, ALLAH tulis baginya satu pahala kebaikan.”(Hadis Riwayat Muslim)
Dan Baginda SAW menambah lagi dalam riwayat lain: “Jika dia berniat dan melakukannya, ALLAH tulis baginya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan, bahkan lebih banyak lagi.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Di sini, Islam memberi kekuatan luar biasa kepada hati manusia iaitu niat yang ikhlas sudah dihitung sebagai ibadah, walaupun bangsa, sistem dan realiti dunia belum mengizinkannya berlaku.
Haji: Ibadah rukun atau ibadah rindu?
Dalam konteks Malaysia hari ini, haji telah berubah menjadi ibadah rindu iaitu haji yang ‘tertahan’, haji yang hanya mampu dibayangkan dan haji yang memerlukan seumur hidup menunggu.
Realitinya sangat pedih apabila seorang anak muda berusia 25 tahun yang mendaftar hari ini mungkin hanya dapat giliran pada umur 125 tahun.
Dan kita tahu, kebanyakan manusia sudah pun kembali kepada ALLAH sebelum angka gilirannya itu tiba.
Tetapi di sinilah rahmat ALLAH memeluk jiwa yang kecewa. ALLAH berfirman: “ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah: 286)
Jika kuota negara, sistem antarabangsa, usia atau kesihatan menghalang seseorang daripada menunaikan haji, maka dia tidak berdosa dan tidak tercabut fadilatnya.
Sarjana kontemporari seperti Sheikh Abdallah bin Bayyah dan Dr Yusuf al-Qaradawi menjelaskan, orang yang telah berniat, berusaha mendaftar, menyimpan wang dan bersedia tetapi dihalang oleh faktor luar kawalan tetap mendapat pahala niat haji sepenuhnya.
Ini bukan kata-kata manis untuk memujuk hati. Ini hukum agama yang jelas.
Realiti Dunia: Kuota, populasi dan keterbatasan sistem
Kita tidak boleh menutup mata bahawa isu ini berlaku kerana:
1 – Populasi global umat Islam yang meningkat drastik.
2 – Kapasiti fizikal Makkah yang terhad.

DOA yang tidak pernah putus dipanjatkan bagi umat Islam yang ingin melaksanakan ibadah haji di Tanah Suci. Foto Canva
3 – Sistem kuota antarabangsa yang ketat.
4 – Permintaan haji yang jauh melebihi kemampuan negara-negara Islam untuk menguruskannya.
Malaysia sendiri setiap tahun menerima ratusan ribu permohonan, tetapi hanya sekitar 31,600 jemaah sahaja yang dibenarkan berangkat.
Lebih-lebih lagi kini dengan syarat kesihatan yang mesti dipenuhi oleh setiap warga Islam untuk ke sana.
Inilah situasi dunia sebenar yang perlu terima secara reda oleh umat Islam di negara ini. Ironinya, adakah ini bererti pahala haji tertutup? Tidak, sama sekali tidak.
Di sinilah Islam tampil dengan wajah yang paling indah iaitu keadilan dan rahmat.
Rakyat Malaysia: Rindu yang tertangguh
Jika kita teliti suasana masyarakat Malaysia hari ini, ramai yang bekerja keras, menyimpan sedikit demi sedikit untuk simpanan dalam akaun Tabung Haji, menahan keinginan dunia dan menunggu peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Mereka ini bukan sekadar ingin ‘melengkapkan rukun’ tetapi mereka membawa hati yang rindu untuk menyapa panggilan Baitullah.
Tetapi kini mereka diuji dengan tempoh yang amat panjang. Contohnya seorang pak cik di kampung bertanya: “Kalau umur pun tidak sempat sampai, apa guna daftar?”
Jawapannya datang dari Rasulullah SAW sendiri: “Sesungguhnya amalan itu dengan niat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dengan erti kata lain, ALLAH telah menerima langkah mendaftar itu sebagai ibadah yang hidup. Ingat, hati yang rindu kepada Allah tidak pernah akan dipersiakan.
Kesedaran spiritual baharu
Hakikatnya, situasi ini mengajar kita tiga perkara besar:
1 – Haji bukan tiket syurga, tapi ikhlas dan taqwa itulah hakikatnya. Begitu juga ibadah haji. ALLAH melihat hati, bukan hanya perjalanan fizikal.
2 – Niat menjadi ruang rahmat bagi jutaan orang yang tak dapat ke sana. Ulama sering menyebut konsep “Ajru an-niyyah” iaitu pahala niat sebagai bukti ALLAH yang MAHA PENGASIH.

WALAUPUN giliran menunggu yang lama, niat dan tekad untuk ke Tanah Suci mengerjakan haji sudah dihitung pahalanya oleh ALLAH SWT. Foto Canva
3 – Rindu kepada Kaabah adalah ibadah yang membina jiwa. Ia menghidupkan pengharapan, kerendahan diri dan kecintaan kepada ALLAH yang menekankan aspek tiga unsur rahsia kekuatan rohani manusia.
Haji yang tertulis tanpa jejak
Hari ini, kita melihat satu fenomena luar biasa iaitu ada manusia yang mungkin tidak sempat menunaikan haji di dunia, tetapi pahala hajinya sudah ditulis lebih awal hatta sebelum dia memulakan langkah pertama ke Makkah.
Maka sesiapa yang telah mendaftar, berniat, berdoa, menabung tetapi maut menyapa lebih awal maka dia akan dibangkitkan sebagai orang yang berniat haji.
Dan niat itu, dalam timbangan ALLAH merupakan ibadah yang agung. Haji kita mungkin tertangguh oleh dunia, tetapi pahala haji tidak pernah tertangguh di sisi ALLAH.
Hakikatnya dalam Islam, perjalanan ke Baitullah bermula bukan dengan visa tetapi dengan titik kerendahan hati yang paling suci dan ikhlas kerana ALLAH Yang MAHA MENGETAHUI segala-galanya.
***Penulis, PROFESOR MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
Ringkasan AI
- Tempoh menunggu haji untuk warga Malaysia kini lebih 100 tahun, melebihi jangka hayat kebanyakan orang
- Islam menilai pahala bukan hanya dari amalan tetapi juga keikhlasan niat, yang haji impian menjadi ibadah rindu
- Populasi Muslim global yang meningkat dan kapasiti terhad Makkah serta kuota antarabangsa membatasi jumlah jemaah haji
- Rakyat Malaysia menabung dan menunggu giliran dengan harapan yang mendalam, menjadikan rindu ke Tanah Suci sebagai ibadah
- Orang yang berniat haji tetapi meninggal sebelum berkesempatan menunaikannya tetap mendapat pahala niat haji sepenuhnya






