am@hmetro.com.my
Kajang: Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima sumbangan dua bot dan 75 jaket keselamatan daripada Yayasan Ikhlas hasil dana Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi membantu kesiapsiagaan agensi itu menghadapi bencana.
Pengarah Bahagian Korporat Yayasan Ikhlas Kamaruddin Kassim berkata, sumbangan itu disalurkan hasil kerjasama Yayasan Ikhlas dengan APM melalui Pasukan Tindakan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDERT-APM).
“Yayasan Ikhlas kini mempunyai hampir 8,000 sukarelawan di seluruh negara termasuk lebih 200 yang dilatih secara rasmi oleh APM.
“Melalui CDERT, kami mampu bergerak ke kawasan zon merah ketika bencana sekali gus memastikan pengurusan bantuan lebih teratur dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bot sumbangan PNB di Ibu Pejabat APM, Sungai Merab, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Kelestarian dan Pelaburan Sosial PNB Rizal Mohamed Ali dan Ketua Pengarah APM Datuk Aminurrahim Mohamed.
Menurutnya, selain Kedah dan Kelantan yang menerima sumbangan kali ini, Yayasan Ikhlas bercadang memperluaskan penyerahan aset bantuan ke Sabah dan Sarawak atas faktor keperluan.
“Selain sumbangan bot, Yayasan Ikhlas turut bercadang menyalurkan bantuan kenderaan pacuan empat roda berprofil tinggi yang diubah suai sepenuhnya bagi operasi bencana pada masa akan datang.
“Kenderaan ini bukan sekadar pacuan empat roda biasa, sebaliknya dinaik taraf mengikut keperluan operasi bencana bagi memastikan kelancaran misi penyelamatan di kawasan berisiko sekali gus memperkukuhkan keberkesanan operasi,” katanya.
Sementara itu, Rizal berkata, sumbangan berjumlah RM40,000 itu bukan sahaja tertumpu kepada operasi menyelamat banjir, malah turut dimanfaatkan bagi latihan dan kesiapsiagaan APM.
“Ini kali kedua PNB menyalurkan sumbangan melalui Yayasan Ikhlas.
“Kami berharap bantuan ini dapat memperkukuh peranan APM dalam operasi penyelamatan terutamanya di kawasan yang sukar diakses melalui darat,” katanya.
Sehingga kini, PNB sudah menyalurkan lebih RM2 juta kepada Yayasan Ikhlas yang diperuntukkan khusus bagi bantuan bencana di seluruh negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd