zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan bot penumpang yang beroperasi tanpa lesen pada jarak 11 batu nautika Timur Laut dari muara Kuala Besut, Besut semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot penumpang itu ditahan bot peronda Maritim Negeri Terengganu dalam satu siri Op Iman yang dilaksanakan di sekitar perairan Pulau Perhentian kira-kira jam 11 pagi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot penumpang tanpa nombor pendaftaran yang dikendalikan oleh seorang operator bot warga tempatan itu mengemukakan lesen yang tamat tempoh.
“Ketika diperiksa, bot terbabit sedang membawa lapan pelancong luar negara dari Pulau Perhentian menuju ke Pulau Rawa bagi menjalankan aktiviti pelancongan.
“Kesalahan yang dilakukan adalah serius di mana pengabaian aspek keselamatan berlaku bukan sahaja terhadap operator bot malah turut membabitkan penumpang yang dibawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Mohd Khairulanuar berkata, bot bersama operator bot ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu membawa penumpang tanpa lesen yang sah serta insurans tamat tempoh.
Katanya, pengusaha-pengusaha bot yang membawa penumpang atau pelancong di laut dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang serta peraturan yang dikeluarkan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd