Aprena Manrose reda perceraian dengan suami

Aprena Manrose reda perceraian dengan suami


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Seorang lelaki (suami) sepatutnya kena lebih kuat pertahankan rumah tangga berbanding perempuan (isteri). Tapi bila lelaki itu memutuskan untuk lepaskan, kita akur saja,” kata pelakon, Aprena Manrose.

Aprena berkata demikian ketika diminta mengulas perceraiannya dan suami iaitu Mohd Afiq Hazman pada Jun lalu.

Menurut Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 32, dia mengakui rumah tangganya sebelum ini sama seperti pasangan suami isteri lain yang melalui fasa bahagia dan bergaduh.

“Hubungan suami isteri mana yang tak bergaduh? Mesti ada saja bergaduh. Kalau boleh tak nak cakap lebih-lebih sebab bimbang akan terbuka aib mana-mana pihak.

“Sebenarnya, bukan sepanjang perkahwinan kami tidak okay, ada masa okay, ada waktu bahagia dan tak bahagia. Cumanya bagi saya, macam mana kita pertahankan perkahwinan itu?,” katanya ketika ditemui pada program Cahaya Hati 2.0: Dari Luka Temui Cahaya di Dewan Matrade di sini.

Mengulas lanjut, kata Aprena, dia kini sudah reda dengan perceraian yang berlaku dalam rumah tangganya itu.

Katanya, dia mendapat kekuatan selepas berpisah dengan melakukan solat tahajud selama lebih empat bulan.

“Alhamdulillah, proses perceraian saya dipermudahkan. Rasa macam tiba-tiba sudah habis idah. Tipulah kalau tak sedih, memang ada fasanya.

“Dalam masa dua, tiga bulan dalam tempoh idah, kami ada mencuba untuk berbaik. Tapi bila Allah SWT kata sudah berakhir, maksudnya kena terimalah.

“Saya juga dekatkan diri dengan Allah, pergi buat umrah, solat tahajud selama lebih empat bulan. Mungkin sebab itu saya dapat kekuatan,” katanya.

Sementara itu, mengenai majlis ilmu dan kelas agama yang kerap dihadiri pula, kata Aprena, itu salah satu cara dia menenangkan jiwa dan menguatkan imannya.

“Majlis ilmu juga adalah salah satu cara untuk saya sembuh, kuatkan iman saya kerana kadang-kadang kaum perempuan ini, kalau tak isikan masa dengan kelas agama, kita akan banyak bermain dengan perasaan.

“Sebab itu, cara saya untuk menangani masalah saya, bila rasa ‘down’, saya akan pergi mengisi masa dengan majlis ilmu,” katanya.

Terdahulu, Aprena mengumumkan dia sudah berpisah dengan suaminya iaitu Mohd Afiq Hazman pada Jun lalu selepas hampir sembilan tahun berkahwin.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2016 dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top