Allahyarham Md Zain Putih meninggal dunia akibat serangan jantung di Alor Setar kelmarin.
BEKAS pemain sepak takraw negara era 80-an dan 90-an, Md Zain Putih, meninggal dunia akibat serangan jantung di Alor Setar, kelmarin.
Zain yang turut berperanan sebagai pengumpan dan sesekali perejam sokongan dalam sistem double killer dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung lapor laman sosial Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).
Sementara itu, bekas rakan sepasukan negeri dan negara, Abd Malik Samsudin berkata, Allahyarham rebah tiba-tiba ketika mahu bermain sepak raga tuju di Taman Seri Kota, Alor Setar.
“Dia kemudian disahkan meninggal dunia setibanya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar kira-kira jam 7 malam, kelmarin dengan bantuan rakan-rakan.
“Allahyarham berasal dari Kampung Seberang Terus, Alor Setar dan berusia 64 tahun serta bapa kepada tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan,” kata pemenang pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 dan Hiroshima 1994 itu.
Zain bergandingan dengan tekong kidal, Azman Ismail dan perejam gulung yang juga apit kiri, Salim Yusof menjuarai kategori regu kebangsaan dalam Kejohanan Sepak Takraw MAS-Utusan Malaysia-RTM pada 29 November 1987.
Regu negara ini memenangi perlawanan akhir di Stadium Negara, Kuala Lumpur, dengan menewaskan gandingan Wilayah Persekutuan, Amir Abu Bakar, Tun Saifuzzaman Daai dan Raziman Hassan 9-15, 15-10, 15-10.
Zain juga pernah menyarung jersi Malaysia dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thailand 1987 kendalian Kassim Bulat di Stadium Huamark, Bangkok.