Paris: Pelumba basikal Belanda, Thymen Arensman memenangi peringkat ke-19 dalam saingan Tour de France di mana ia adalah kemenangan keduanya pada edisi kali ini, manakala juara bertahan Tadej Pogacar semakin hampir untuk meraih gelaran keempatnya sebagai pelumba terbaik keseluruhan.
Perlumbaan yang berakhir di pusat peranginan ski La Plagne itu menyaksikan Arensman menamatkan saingan dalam hujan, dua saat di hadapan pencabar gelaran Jonas Vingegaard dan seteru utamanya, Pogacar.
Pelumba Slovenia itu meninggalkan kawasan Alps dengan kelebihan empat minit dua puluh empat saat berbanding Vingegaard di tempat kedua dengan hanya berbaki dua peringkat.
Bintang muda Jerman, Florian Lipowitz, mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga dan menguasai kategori bawah 25 tahun dalam penampilan sulungnya di Tour de France, apabila dia berjaya mengekori kedua-dua pencabar gelaran sehingga ke garisan penamat di puncak.
Bagi Arensman dan pasukan Ineos, ini adalah kemenangan simbolik ketika pasukan Britain itu memulakan kebangkitan mereka di bawah kendalian Dave Brailsford.
Sebelum ini, Arensman memenangi peringkat ke-14 di mana dia berjaya menawan kawasan tanah tinggi Pyrenees, di Superbagneres.
© New Straits Times Press (M) Bhd