Argentina enggan pandang rendah Cape Verde

Argentina enggan pandang rendah Cape Verde

Argentina enggan pandang rendah Cape Verde


Miami: Status sebagai pilihan utama tidak membuatkan juara bertahan, Argentina, memandang mudah cabaran Cape Verde apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia awal pagi esok.

Pengendali Argentina, Lionel Scaloni, mengakui beliau langsung tidak terkejut melihat Cape Verde mara ke peringkat kalah mati, meskipun ramai menjangkakan pasukannya bakal berdepan Uruguay atau Saudi Arabia.

“Kami sudah mengikuti perkembangan mereka, bukan hanya kerana kami akan menentang mereka, tetapi kerana kami sudah menganalisis beberapa calon lawan lebih awal.

“Apabila mereka layak, kami tidak terkejut. Sejujurnya, mereka adalah sebuah pasukan yang bagus dan mereka berada di sini bukan secara kebetulan.

“Kami perlu menghormati mereka dan itulah yang akan kami lakukan,” katanya.

Argentina setakat ini mempamerkan aksi cukup meyakinkan apabila menewaskan ketiga-tiga lawan di peringkat kumpulan dengan kelebihan lebih daripada satu gol.

Kapten pasukan, Lionel Messi, yang kini berusia 39 tahun, turut berada pada prestasi terbaik apabila meledak enam gol, sekali gus berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak kejohanan bersama bintang France, Kylian Mbappé.

Dua gol Messi ketika menewaskan Austria juga menyaksikannya muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 19 gol, mengatasi rekod legenda Jerman, Miroslav Klose, manakala Mbappe kini mengumpul 18 jaringan.

Rakan sepasukan Messi, Rodrigo De Paul, berkata mereka enggan memikirkan kemungkinan aksi menentang Cape Verde menjadi penampilan terakhir legenda itu di pentas Piala Dunia.

“Kami tidak tahu berapa banyak lagi perlawanan yang akan kami harungi. Tidak bagus untuk memikirkan perkara seperti itu.

“Bagi saya, perkara paling penting adalah menikmati setiap hari bersama Leo Messi, sama seperti seluruh rakyat Argentina.

“Sudah tentu kita lebih menghargai sesuatu apabila ia sudah tiada. Itu lumrah kehidupan. Namun ketika ini kami semua menikmati kehadirannya dan fokus utama kami ialah perlawanan esok,” katanya.

Walaupun dilabel pasukan bukan pilihan, Cape Verde membuktikan kemampuan sebenar apabila mengikat ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan, termasuk seri tanpa jaringan dengan pilihan kejohanan, Spain, serta keputusan 2-2 menentang Uruguay.

Prestasi itu meningkatkan keyakinan pengendali mereka, Bubista, yang percaya pendekatan taktikal pasukannya mampu mengekang kehebatan Argentina.

“Kami mempunyai strategi tersendiri, bukan hanya untuk Messi tetapi untuk keseluruhan pasukan.

“Kami tahu mereka adalah juara dunia dan antara pasukan terbaik kejohanan. Messi sememangnya antara pemain terbaik dunia, namun kami akan bermain secara berdisiplin dan menumpukan perhatian kepada keseluruhan pasukan mereka,” katanya.

Sementara itu, pertahanan berpengalaman Cape Verde, Stopira, menegaskan pasukannya belum puas dengan pencapaian mara ke pusingan kalah mati dan mahu terus mencipta sejarah.

“Kami sentiasa bersatu sebagai sebuah pasukan. Hubungan kami di bilik persalinan sangat rapat dan kini lebih kukuh kerana kami semakin hampir dengan perlawanan paling penting dalam sejarah negara.

“Kami berada di sini bukan kerana nasib, tetapi hasil usaha sendiri. Kami mahu membuktikan kepada dunia bahawa bola sepak Cape Verde memiliki kualiti dan nilai yang tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top