September 8, 2024

Argentina pertahan gelaran Copa America 2024

Argentina pertahan gelaran Copa America 2024


PEMAIN gantian, Lautaro Martinez memacu kemenangan Argentina untuk mempertahankan gelaran Copa America 2024 setelah menumpaskan Colombia 1-0 dalam aksi final di Miami sebentar tadi.

Jaringan pada minit ke-112 sudah cukup buat skuad bimbingan Lionel Scaloni merangkul trofi ketiga di pentas utama selepas bergelar juara dunia pada 2022 dan trofi Copa America pada 2021.

Malah lebih membanggakan skuad La Albiceleste mencipta rekod baharu kejohanan dengan bergelar juara buat kali ke-16.

Dalam aksi di Stadium Hard Rock itu menyaksikan Argentina hampir mendahului menerusi penyerang Manchester City, Julian Alvarez pada minit pertama, namun percubaannya tidak menepati sasaran.

Colombia juga berpeluang meledak gol awal menerusi Jhon Cordoba pada minit ke-16, bagaimanapun percubaan kencangnya berjaya ditangkap penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.

Kedua-dua pasukan terus berusaha memburu gol, tetapi keputusan terikat tanpa jaringan sehingga rehat separuh masa.

Memasuki babak kedua bek tengah Tottenham Hotspur, Davinson Sanchez hampir meletakkan Colombia di depan pada minit ke-53, namun tandukannya gagal menemui sasaran.

Empat minit menyusul, Angel Di Maria hampir menyumbang gol pertama Argentina, tetapi percubaan deras beliau berjaya ditepis penjaga gol, Camilo Vargas.

La Albiceleste ditimpa malang apabila kapten, Lionel Messi terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-66 dan tempatnya digantikan pemain sayap Fiorentina, Nicolas Gonzalez.

Kehadiran Gonzalez kemudian mencipta impak buat Argentina apabila berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-79, namun gol itu dibatalkan kerana ofsaid.

Gonzalez terus menjadi duri dalam daging buat Colombia apabila percubaan kencangnya pada minit ke-94 berjaya dinafikan Vargas.

Jaringan yang dicari akhirnya kunjung tiba menerusi Martinez berbaki lapan minit menuju wisel penamat masa tambahan.

Penyerang Inter Milan itu berjaya melepasi pertahanan Colombia sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan Vargas untuk mengesahkan kemenangan tipis Argentina 1-0.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top