Arif Aiman belum sedia berpisah dengan JDT

Arif Aiman belum sedia berpisah dengan JDT


Arif Aiman (depan) mahu terus meningkatkan tahap permainannya bersama JDT. Foto Bernama

BINTANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mahu terus menabur bakti bersama kelab itu sekali gus menafikan spekulasi bakal berhijrah ke luar negara.

Menurut Arif Aiman, beliau turut mempunyai perancangan jangka panjang untuk terus meningkatkan prestasi permainan dan beraksi pada tahap tertinggi untuk Harimau Selatan.

“Matlamat jangka panjang saya untuk terus meningkat kualiti permainan dan terus beraksi pada tahap tertinggi untuk JDT.

“Saya perlu terus bekerja keras untuk berada di tempat saya hari ini. Saya rasa tahap saya masih belum cukup, jadi saya akan terus berusaha dan menyasarkan tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sebelum ini, Arif Aiman dilaporkan mencuri perhatian beberapa pasukan dari luar negara yang terpukau dengan kelincahan dan ketajaman pemain berusia 22 tahun itu.

Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tiga kali berturut-turut itu dikaitkan dengan pasukan gergasi Iran, Persepolis FC sehingga penyokong mereka menyerang Instagram Arif Aiman untuk memintanya bermain di kelab itu.

Dalam pada itu, beliau turut percaya sokongan luar biasa diterimanya terutama daripada Pemangku Sultan Johor yang juga Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail dan ibu bapanya sebagai azimat untuknya.

“Impian saya dari kecil untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya. Selama ini saya mendapat sokongan yang hebat terutama daripada ibu bapa saya yang banyak menyokong dan mendoakan kejayaan saya sejak kecil.

“Pemangku Sultan Johor telah banyak menyokong dan memainkan peranan dalam perkembangan saya di JDT juga.

“Saya akan terus bekerja keras kerana mentaliti saya adalah untuk sentiasa memperbaiki diri. Wira dan teladan saya ialah ahli keluarga saya yang sentiasa menyokong saya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top