ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dalam kehangatan sorotan terhadap penampilan sulung pemain warisan seperti Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado, satu nama tempatan kekal menjadi nadi utama kejayaan Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi.
Pemain sayap lincah berusia 23 tahun itu sekali lagi membuktikan bahawa statusnya sebagai bintang tempatan bukan sekadar gimik, apabila mencipta dua bantuan jaringan penting dalam kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam pada aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, malam tadi.
Bermain di hadapan lebih 50,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Arif Aiman menjadi arkitek utama kepada jaringan Rodrigo Holgado dan La’Vere Corbin Ong pada babak kedua, sekali gus memperlihatkan tahap kematangan dan ketajamannya setanding dengan pemain warisan atau naturalisasi.
Aksi bertenaga Arif Aiman yang sering menjadi duri dalam daging buat benteng Vietnam nyata memberi dimensi tambahan kepada jentera serangan negara.
Kelincahannya membuka ruang, sementara visi dan ketenangan ketika menghantar bola kepada rakan menjadikan dia aset utama buat Harimau Malaya.
Kehadiran penyerang baharu warisan seperti Figueiredo dan Holgado dilihat menambah bisa di depan gawang, namun gandingan bersama pemain seperti Arif Aiman membuktikan bahawa kekuatan skuad negara kini hadir daripada keseimbangan antara bakat tempatan dan pemain berdarah campuran.
Jika prestasi ini berterusan, Arif Aiman bukan sahaja bakal menjadi ikon Harimau Malaya, tetapi juga calon kapten masa depan yang mampu memimpin negara ke pentas tertinggi Asia dan dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd