Arif Aiman diasak pemain Pohang Steelers FC Oberdan pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. Foto Bernama
BINTANG sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi membuktikan dirinya antara peledak berbisa di Asia apabila berada dalam kedudukan 10 penjaring terbanyak saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas saingan peringkat kumpulan berakhir.
Pemain sayap kanan Harimau Selatan itu telah meledak lima gol keseluruhan termasuk satu jaringan yang dilakukannya ketika membantu JDT melakar kemenangan bergaya 5-2 ke atas pasukan dari Korea Selatan, Pohang Steelers pada Selasa.
Kemenangan besar di Stadium Sultan Ibrahim itu juga menyaksikan JDT mencipta kejayaan mara ke pusingan 16 terbaik.
Selain gol ketika menentang Pohang, Arif Aiman juga turut meledak dua gol ketika menewaskan pasukan China, Shanghai Port FC, dan masing-masing satu gol ketika menentang Shanghai Shenhua dan Ulsan HD.
Lebih menarik jumlah lima gol itu menyaksikan Arif Aiman menghampiri jaringan bintang dunia, Cristiano Ronaldo yang turut berjaya membawa pasukannya Al-Nassr ke pusingan 16 terbaik.
Ronaldo merekodkan enam gol di kedudukan ketiga ketinggalan satu gol di belakang Jasir Asani daripada Gwangju FC dan Salem Al Dawsari dari Al Hilal yang masing-masing telah meledak tujuh gol.
Kemaraan JDT ke pusingan 16 merupakan satu kejayaan bermakna buat bola sepak negara dan dalam masa turut memberikan peluang kepada Arif Aiman menambah gol peribadinya di kejohanan Asia itu.
Selepas ini, JDT dijadualkan bertemu Gwangju FC pada pusingan 16 tersebut yang akan berlangsung secara timbal balik pada bulan depan.